PETALING JAYA: Tindakan sepasang kekasih melanggar anggota motosikal peronda ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di kawasan parkir restoran makanan segera, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini, awal pagi ini mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan.
Kejadian kira-kira pukul 3.04 pagi itu menyebabkan seorang anggota cedera ringan selepas dilanggar pasangan berusia 20 tahun dan 19 tahun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada awalnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Baru Bangi sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira pukul 10.30 malam sebelum mereka terserempak sebuah kereta dengan enjin dihidupkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir itu.
“Anggota terbabit menghampiri kereta berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh serta mengetuk cermin kereta itu yang mana terdapat seorang lelaki dan wanita.
“Sejurus selepas pasangan ini mengetahui kehadiran polis dan diarahkan keluar, lelaki itu terus memandu kereta dan cuba melarikan diri dengan melanggar motosikal serta seorang anggota yang berada di hadapan kereta berkenaan.
“Kejadian itu menyebabkan anggota itu terpaksa berpaut pada kereta yang bergerak kira-kira 150 meter sebelum melepaskan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, suspek cuba melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi selepas mendapati terdapat anggota cedera dan motosikal polis rosak.
“Bagaimanapun, anggota berkaitan mengecam nombor pendaftaran kereta suspek sebelum menahan mereka.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Bandar Baru Bangi pagi ini, mengikut Seksyen 186, 307 dan 332 Kanun Keseksaan selain Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ),” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804.
Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat di media sosial menunjukkan seorang anggota polis berpaut pada sebuah kereta Perodua Alza berwarna biru sebelum kenderaan itu memecut meninggalkan tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE