Paras air empangan utama di Pulau Pinang masih mencukupi  - Utusan Malaysia

Paras air empangan utama di Pulau Pinang masih mencukupi 

PARAS air di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang tidak menunjukkan penyusutan ketara dan tidak akan memberi kesan terhadap bekalan air kepada penduduk meskipun negara dijangka dilanda musim kemarau sehingga April ini.-UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bekalan air di empangan utama di negeri ini masih mencukupi walaupun musim kemarau dijangka berterusan sehingga April ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pada 2 Mac lalu adalah pada kadar 58.7 peratus berbanding  28.3 peratus tahun lalu. 

Katanya, pada kadar berkenaan empangan tersebut mampu membekalkan air secara berterusan sehingga 179 hari. 

“Kadar efektif Empangan Mengkuang pula berada pada 95 peratus berbanding 71.2 peratus tahun lalu dan boleh membekalkan air selama 274 hari kepada pengguna. 

“Empangan Air Itam pada 2 Mac lalu pula pada kadar 82 peratus berbanding 45.3 peratus pada tahun lalu dan boleh membekalkan air selama 81 hari,” katanya di sini hari ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan, fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas berpanjangan. 

Keadaan cuaca agak panas yang dialami di kebanyakan kawasan di negara ini dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April ini. 

Menurut Jaseni, dari segi penurunan kadar kapasiti empangan berlaku pengurangan kapasiti di Empangan Air Itam iaitu sekitar 13.2 peratus dalam tempoh 1 Januari hingga kelmarin. 

Jelasnya, bagi Empangan Teluk Bahang pula tiada pengurangan kapasiti dicatatakan dan paras efektif air adalah pada kadar 58.7 peratus. 

“Empangan Mengkuang pula hanya mencatatkan pengurangan 1.1 peratus dalam tempoh sama,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, walaupun bekalan air mencukupi PBAPP tetap mengingatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemah semasa musim kemarau sehingga April ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya