Pantau jualan ekzos bingit - Wazi - Utusan Malaysia

Pantau jualan ekzos bingit – Wazi

Wazi Abdul Hamid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan berbentuk advokasi dan nasihat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan berbentuk punitif dikenakan terhadap pesalah merupakan kaedah yang sesuai untuk mengatasi isu menggunakan ekzos yang diubah suai pada kenderaan.

Bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berkata, beliau menyokong cara yang digunakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menggunakan kaedah mendidik, bukan hukuman semata-mata dalam isu tersebut.

Menurutnya, ia satu langkah yang wajar dalam mengatasi masalah itu yang disifatkan lebih menggunakan budi bicara.

“Saya lebih menyokong aspek mendidik dalam mengatasi sesuatu isu seperti penggunaan ekzos yang diubah suai. Bukan bermaksud undang-undang perlu diubah terhadap sesuatu kesalahan, tetapi dalam isu ekzos bingit ini, kerajaan perlu menggunakan budi bicara.

“Jika seseorang ditahan kerana kesalahan ekzos bingit, tidak semestinya terus dikenakan denda tetapi aspek mendidik, memberi kesedaran dan budi bicara lebih berkesan dalam mengatasi masalah ini,” katanya.

Wazi yang mendapat julukan ‘raja kapcai’ berkata, namun, pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu melaksanakan operasi yang menyeluruh terhadap penggunaan ekzos bingit ini dan tidak hanya menyasarkan  kepada penunggang motosikal sahaja.

“Kenderaan lain seperti lori dan kereta juga ada yang menggunakan ekzos yang diubah suai,” katanya.

 Wazi juga berharap pemantau dilakukan di sektor industri penjualan ekzos yang diubah suai jika kerajaan benar-benar mahu mengatasi masalah itu.

Menurutnya, perlu ada elemen dan undang-undang bagi penjualan ekzos yang diubah suai dan pihak industri juga perlu bertanggungjawab mematuhinya.

“Mungkin pihak yang berkenaan boleh melihat dari sudut penjualan ekzos yang diubah suai ini. Ada ekzos tempatan dan import yang harganya mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Semalam, JPJ dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan berbentuk advokasi dan nasihat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan berbentuk punitif atau penguatkuasaan undang-undang diambil terhadap mana-mana pesalah yang menggunakan ekzos bingit.

Dua pendekatan akan diguna pakai bagi menangani isu tersebut iaitu Pengeluaran Notis Temu Siasat di bawah Seksyen 114(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan siasatan dan pengumpulan maklumat (advokasi/nasihat).

Satu lagi ialah Pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan di bawah Seksyen 59(1), Notis (PG1) akta yang sama bagi tujuan penguatkuasaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN