PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan sekumpulan 25 anggota panel pakar dalam usaha memperkasa imej belia di negara ini mengharungi cabaran global.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jawatankuasa panel itu akan memberi nasihat dan panduan terhadap dasar dan pelbagai program dirancang kementerian.
“Ia bakal jadi pelengkap idea baharu dalam konteks pembangunan belia dan sukan tempatan selain membantu pihak kementerian dalam aspek komunikasi yang lebih strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan kepada ahli panel pakar kementerian itu di sini hari ini,
Panel tersebut diterajui bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara serta Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Borhan Dolah.
Panel julung kali dibentuk kementerian itu mula bermesyuarat hari ini dengan membincangkan agenda kanvas Visi Sukan Negara 2030 dan Model Pembangunan Belia Baharu Malaysia.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, pembentukan panel itu bukanlah membuat dasar baharu tetapi berperanan menambah baik segala polisi kerajaan terhadap golongan belia.
“Saya tidak mahu setiap kali bertukar menteri atau kerajaan baharu, maka dasar yang lama pun terpaksa diganti, sebaliknya kita mahu diteruskan tetapi perlu ada penambahbaikan,” tegasnya.
Beliau memberi contoh Dasar Belia Negara 2015-2035 yang dilancarkan menteri sebelumnya, Khairy Jamaluddin selain panel itu akan menyelaras tindakan sejajar wawasan negara 2030. – UTUSAN ONLINE