Pahang tingkat pemantauan SOP rumah kebajikan warga emas - Utusan Malaysia

Pahang tingkat pemantauan SOP rumah kebajikan warga emas

SHAHANIZA Shamsuddin (kanan) meninjau perkembangan situasi kluster Jalan Warga Emas Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang di Bera, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kerajaan negeri menggiatkan pemantauan dan meningkatkan pengawasan terhadap pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di semua pusat penjagaan warga emas di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, ia berikutan wujud kluster Jalan Warga Emas selepas beberapa penghuni di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang di sini disahkan positif pandemik Covid-19.

Menurutnya, seramai lima daripada 265 orang terdiri penghuni dan penjaga di premis itu positif Covid-19 selepas keputusan sampel diperoleh, 13 Mac lalu.

“Susulan itu, kerajaan negeri mengambil tindakan pantas dan wajar menanganinya bagi menjaga kebajikan penghuni rumah kebajikan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang Bera di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulkhairi Zainol Abidin, Pegawai Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat dan Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Moey.

Daerah Bera telah direkodkan lima kes positif yang dikenali sebagai kluster Jalan Warga Emas iaitu di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang. 

Kluster itu dikesan melalui saringan survelan yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bera pada 11 Mac 2021. Saringan tersebut melibatkan semua penghuni yang berusia 60 hingga 92 tahun dan penjaga iaitu seramai 265 orang.

Pada 13 Mac lalu, keputusan sampel telah diperolehi dan lima orang daripadanya didapati positif dan keputusan baki adalah negatif. Kesemuanya kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut dan kesemua kes ini tidak menunjukkan sebarang gejala. 

Shahaniza berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan keperluan makanan dan perubatan penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang di sini yang terpaksa ditutup kerana berlaku penularan wabak Covid-19 sentiasa mencukupi.

Beliau berjata, kerajaan negeri melalui JKM telah menyediakan bekalan makanan kepada semua penghuni dengan kekerapan lima kali sehari.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan juga telah mengenal pasti ubat-ubatan yang terlibat dan akan memastikan segala bekalan bantuan ubat tidak akan terganggu.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, situasi kluster Jalan Warga Emas agak berbeza dengan kluster-kluster yang ada sebelum ini kerana penghuninya terdiri daripada warga emas yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak mempunyai waris.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Task Force Covid-19 Negeri Pahang telah mengenal pasti empat buah hospital yang berdekatan iaitu Hoshas, Hospital Jengka, Hospital Bentong dan Hospital Muadzam Shah untuk membantu dari segi penempatan penghuni-penghuni yang memerlukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN