Pahang terima 11,700 vaksin tambahan - Utusan Malaysia

Pahang terima 11,700 vaksin tambahan

NOROL AZALI SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerima kira-kira 11,700 dos tambahan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer BioNTech dan menempatkannya di lima pusat penyimpanan vaksin di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, semua dos tambahan itu mula tiba secara berperingkat sejak pukul 1 petang hari ini.

“Sejumlah 4,680 dos ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA); masing-masing 1,170 dos di Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Bentong; manakala Hospital Lipis dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pula menerima 2,340 dos.

“Proses pengagihan dos tambahan itu dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah untuk proses suntikan vaksin kepada penerima mengikut kategori ditetapkan, dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pahang mempunyai lima pusat penyimpanan vaksin, 49 pusat pemberian vaksin dan 72 fasiliti pemberian vaksin di seluruh negeri.

Norol Azali berkata, dos tambahan diterima kerajaan Pahang susulan daripada penghantaran fasa pertama vaksin Covid-19 berjumlah 23,400 yang diterima kerajaan negeri pada 24 Februari lalu.

“Secara keseluruhannya, kerajaan negeri dijadualkan menerima 64,350 dos vaksin Covid-19 melalui enam fasa penghantaran,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya berharap proses pemberian vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat Pahang dapat diselesaikan selewat-lewatnya Februari tahun hadapan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN