Pahang pertimbang bina lapangan terbang di Gebeng - Utusan Malaysia

Pahang pertimbang bina lapangan terbang di Gebeng

ABD. RAHIM MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan membina lapangan terbang baharu di kawasan perindustrian Gebeng dekat sini sebagai strategi menarik lebih ramai pelabur berpotensi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, ia juga bersesuaian dengan status bandar raya diperoleh Kuantan pada 21 Februari lalu.

“Pembinaan lapangan terbang itu adalah antara usaha terbaharu kerajaan negeri menjadikan kawasan perindustrian Gebeng sebagai daerah perindustrian berpendapatan tinggi.

“Sekarang ini beberapa syarikat luar sudah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri dan bersedia untuk melabur di Kuantan. Inilah peluang kerajaan negeri meningkatkan ekonomi dan menambahkan hasil seterusnya memberi kemakmuran kepada rakyat Pahang,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Abd. Rahim berkata, setakat ini tidak ada sebarang kenaikan cukai taksiran untuk daerah Kuantan selepas mendapat status bandar raya.

“Persoalan ini sudah banyak kali disuarakan oleh ramai pihak dan saya boleh memberi pengesahan ia tidak berlaku (kenaikan cukai taksiran) dalam masa terdekat.

“Sebenarnya kerajaan negeri boleh menaikkan cukai (taksiran) tanpa menunggu status bandar raya, tapi itu bukan hasrat utama kerana kita lebih mementingkan agenda menjaga kesejahteraan rakyat berbanding mengutip cukai,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti cadangan menaik taraf status bandar Pekan dan Cameron Highlands kepada perbandaran.

“Kita memang ada perancangan untuk menaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pekan dan Cameron Highlands kepada Majlis Perbandaran Pekan dan Majlis Perbandaran Cameron Highlands. Memang ada usaha ke arah itu (naik taraf).

“Selain itu, kita juga melihat kepada kemungkinan lain seperti naik taraf status Bentong dan Temerloh sebagai bandar raya, cuma buat masa ini kita lihat daerah Bentong paling berpotensi dijadikan bandar raya dalam masa beberapa tahun akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya