PUTRAJAYA: Lelaki tempatan diberkas kerana menyiarkan filem menerusi media sosial Telegram kepada awam tanpa mendapat kebenaran pemilik hak cipta karya berkenaan.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, individu itu dicekup di sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan.
“Serbuan dilakukan sepasukan lima anggota dari ibu pejabat Putrajaya hasil risikan selama dua minggu dan juga maklumat pemilik hak cipta,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Suspek ujarnya, ditahan pasukan itu dalam pemeriksaan disertai wakil pemilik hak cipta untuk siasatan lanjut dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.
Beliau menambah, mereka turut merampas beberapa barangan milik suspek itu yang berupa peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah sekitar RM5,000.
“Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, individu itu boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau hukuman penjara sehingga maksimum lima tahun,” tegasnya.
Azman sehubungan itu menasihati orang ramai agar tidak sesuka hati sengaja berkongsi atau mengedarkan karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya.
Larangan tersebut jelas beliau, sebenarnya turut meliputi mana-mana akses medium internet termasuk melalui media sosial tanpa mendapat kebenaran dari pemilik hak cipta berkenaan.
“Pihak kementerian juga memandang serius segala perlakuan salah sebegini walaupun ia kemungkinan hanya dibuat individu sekadar untuk tujuan keseronokan sahaja,” kata beliau.
Pengguna ujar beliau, disarankan supaya segera menyalurkan maklumat sebarang kegiatan cetak rompak kepada kementerian itu dengan melaporkan melalui hotline 1-800-886-800.
Aduan juga boleh diajukan di talian 03-88826088 di Enforcement Command Centre atau aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau pautan laman http://e-aduan.kpdnhep.gov.my.
Mereka katanya, turut boleh hadir sendiri ke mana-mana pejabat kementerian tersebut yang berhampiran supaya tindakan susulan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif. -UTUSAN ONLINE