GEORGETOWN: Orang ramai dan usahawan di negeri ini dijemput bersama-sama memeriahkan Karnival Food Republik yang akan berlangsung selama empat hari bermula 1 hingga 4 April ini di pekarangan parkir kereta Pasaraya Lotuss, Seberang Jaya di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, penganjuran program Karnival Food Republik itu bertujuan menyokong dan membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta merancakkan semula ekonomi negeri ini.
“Sektor peruncitan, makanan dan minuman, pelancongan serta perniagaan berkaitan adalah antara sektor yang terjejas akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Oleh itu, penganjuran Karnival Food Republik ini merupakan satu platform untuk mengumpulkan para usahawan khususnya dari Utara berniaga seterusnya sebagai persediaan untuk musim perayaan khususnya di bulan Ramadan dan
Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, pelbagai program diatur sepanjang karnival empat hari itu antaranya pameran jualan daripada pelbagai produk usahawan, klinik usahawan, pertandingan fesyen dan lain-lain aktiviti.
“Dengan kehadiran beberapa selebriti usahawan antaranya Raja Ema, Shidi Data, Erry Putra, Nadia Kesuma, Abang Gee dan ramai lagi dijangkakan karnival ini dapat menarik sehingga 5,000 pengunjung.
“Namun saya ingin ingatkan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengimbas MySejahtera,” katanya.
Tambahnya, karnival itu juga mendapat tajaan Syarikat Apcel Cafe selaku penaja utama dan selain itu, tiga anak muda pengasas syampu rambut Harry Expert juga di antara rakan penaja untuk Karnival Food Republic itu.
“Usahawan yang menyertai program ini sebagai vendor akan mendapat bimbingan keusahawan berniaga secara percuma daripada Eyenur International Academy Sdn. Bhd. sepanjang program dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, penganjur karnival berkenaan yang merupakan Pengarah Avatar Event, Sya Mothar berkata, pihaknya menyasarkan seramai 60 usahawan menyertai karnival tersebut dan mengalu-alukan para usahawan lain untuk turut serta.
“Pada masa ini, sebanyak 30 usahawan mengesahkan menyertai karnival ini dan bagi usahawan yang berminat boleh berhubung saya di talian 019-2265894 dan 012-2860304 (Zurilaili).
“Bagi orang ramai pula lebih 100 jenis makanan dan minuman yang tular di media sosial menanti untuk dicuba dan dinikmati sepanjang karnival ini berlangsung,” katanya.- UTUSAN ONLINE