‘Orang besar’ UMNO usah ajar akar umbi berbalah - Annuar - Utusan Malaysia

‘Orang besar’ UMNO usah ajar akar umbi berbalah – Annuar

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa membidas tindakan ‘orang besar’ dalam UMNO yang tergamak menggelar Pas sebagai pelacur politik baru-baru ini.

Walaupun tidak menyatakan secara terang-terangan, ‘orang besar’ dimaksudkan Ahli Parlimen Ketereh itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut Annuar, gelaran terkini terhadap Pas tersebut sengaja dibuat bagi mengundang perbalahan dan jika dibiarkan, sejarah lama permusuhan antara UMNO dan Pas bakal berulang.

“Kita tak patut mengata orang perkataan hodoh begitu. Pelacur ini bukan perkataan baik, ia perkataan hina dan apa maksudnya itu? Maksudnya nak ajak berbalah.. kalau Pas jawab, maka berbalahlah.

“Kalau orang besar ajar berbalah, kita yang duduk di bawah, di kedai kopi ini lagilah. Jadi, jangan ajar hingga orang UMNO dan Pas tak berbaik lagi jadi macam dulu. Ambo (saya) tak pakai dah mazhab tu. Minta maaflah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Parlimen Ketereh, di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang baru-baru ini dilaporkan melabelkan Pas sebagai pelacur politik yang perlu ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sejurus majlis selesai, Annuar berkata, dalam mesyuaratnya semalam, UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara menyatakan pendirian rasmi secara bertulis untuk dihantar kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, surat bertarikh 19 Mac 2021 itu ditandatangani kesemua 30 ahli jawatankuasa UMNO Bahagian dan telah memutuskan empat perkara iaitu;

Pertama, UMNO Bahagian Ketereh mengambil ketetapan untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kedua, mengesyorkan supaya PN dan BN segera memulakan rundingan pembahagian kerusi supaya dapat membentuk gabungan kuat untuk berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.

Ketiga, memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari kalangan pemimpin BN serta-merta.

Keempat, menggesa supaya kerajaan terus fokus dan memberi keutamaan terhadap agenda mengekalkan kestabilan politik tanah air, memerangi Covid-19, membela rakyat dan memulihkan ekonomi negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya