KUANTAN: Isu kematangan adalah subjektif kerana tidak ada kayu pengukur jelas yang mana ia dikatakan matang dan tidak matang.
Hatta, Islam juga membuat kayu ukur kebertanggungjawaban seseorang dengan akil baligh, bukan dengan kematangan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, untuk menentukan kelayakan mengundi berdasarkan kematangan seseorang adalah sukar dilaksanakan kerana mereka yang berusia pun belum tentu matang dalam membuat keputusan.
Beliau menjelaskan, golongan belia dan anak muda zaman sekarang terdedah dengan pelbagai maklumat dengan mudah termasuk membabitkan isu-isu politik tanah air jauh lebih awal dari generasi sebelum ini.
“Maka hendak mengatakan mereka (anak muda) tidak matang atau tidak faham berkenaan politik agak kurang tepat. Mungkin ada yang tidak peduli berkaitan politik dan isu-isu sekitar, namun ramai juga anak muda yang amat berminat dengan politik.
“Contohnya, MBM yang menganjurkan Sekolah Politik telah menerima permohonan menjadi peserta sebanyak 800 orang dalam masa hanya dua hari sahaja. Peserta termuda berusia 16 tahun.
“Tambahan, belia berusia 18 tahun sudah boleh diberi kepercayaan untuk berkahwin, untuk buat keputusan-keputusan penting dalam hidup. Mengapa anak muda tak diberi peluang untuk mengundi dan menjadi calon?,” soalnya di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin yang berkata, penangguhan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun (Undi18) selepas 1 September 2022 mampu memastikan kerajaan yang dipilih rakyat merupakan sebuah kerajaan yang matang.
Abdul Hadi berkata, negara tidak perlu terpengaruh dengan Barat yang lebih mengutamakan kelayakan usia pengundi berbanding faktor kematangan dalam membuat pemilihan menentukan kerajaan.
Mohd. Izzat Afifi berkata, tidak dinafikan anak muda perlu didedahkan lagi dengan pendidikan politik dan demokrasi yang mana ia harus diadakan dengan segera dalam kurikulum pendidikan negara.
“MBM juga mengambil langkah pertama dengan mewujudkan program Sekolah Politik yang sudah pun berjalan sejak 2018.
“Sebab itu, MBM mendesak kerajaan menggariskan segera langkah merealisasikan Undi18 bukan sahaja pelaksanaan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tapi juga pihak lain khususnya dalam memberi pendidikan demokrasi dan politik pada anak muda,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, isu kematangan anak muda tidak sewajarnya dipersoalkan kerana apa yang perlu diberikan keutamaan adalah kefahaman dan pendidikan kepada golongan berkenaan terutama berusia 18 tahun.
Beliau berkata, negara jiran Singapura pun masih mengekalkan had usia mengundi 21 tahun dan apa yang penting orang muda perlu bijak membuat keputusan terutama melibatkan masa depan negara dalam pilihan raya dan barisan kepemimpinannya.
“Kita tidak boleh menyalahkan anak muda, ini kerana pendidikan kenegaraan tidak dipupuk dan diajar secara menyeluruh terutama dalam silibus pendidikan ketika di peringkat sekolah,” katanya.
Menurutnya, penangguhan Undi18 oleh SPR untuk memberi peluang supaya pelaksanaannya lebih holistik dan menyeluruh, bukan sekadar daftar nama dan hanya melalui pindaan yang dilaksanakan sahaja.
“Hakikat yang perlu kita lihat, kita tidak menidakkan peranan golongan muda, tapi sebagai mana saya konsisten sebut, perlu ada proses pendidikan dan tarbiah supaya anak muda mempunyai pengetahuan yang lengkap dan tidak hanya bersandarkan kenyataan populis serta propaganda,” katanya.-UTUSAN ONLINE