Operasi kilang haram faktor pencemaran udara Pasir Gudang - Utusan Malaysia

Operasi kilang haram faktor pencemaran udara Pasir Gudang

HASSAN Abdul Karim (kanan) menunjukkan keadaan air Sungai Kim-Kim di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Operasi kilang secara haram di Pasir Gudang menjadi faktor penyumbang kepada pencemaran udara yang berlaku di kawasan tersebut pada 2019 hingga menyebabkan lebih 6,000 penduduk setempat menjadi mangsa.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau turut menyokong laporan kajian Badan Bertindak Akademik Sains Malaysia (ASM) yang merungkai isu pencemaran yang berlaku dua tahun lalu itu.

Jelasnya, pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim di sini pada ketika itu juga turut menyumbang kepada pencemaran udara menjadikan kandungan udara semakin tercemar.

“Sekiranya kilang berlesen yang beroperasi mematuhi peraturan di bawah akta berkaitan alam sekitar berbuat demikian, mudah untuk dikawal dengan bertindak menarik lesen dan beri amaran kepada mereka.

“Bagaimana kilang haram ini masih boleh beroperasi? Ini adalah kesan daripada amalan korupsi dan kurang penguatkuasaan daripada kerajaan negeri.

“Kita mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas dengan menutup kilang tersebut daripada terus beroperasi. Isu pencemaran ini tidak seharusnya dipandang mudah,” katanya ketika meninjau keadaan Sungai Kim Kim yang dilaporkan kembali dicemari beberapa hari yang lalu dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua PKR Cabang Tebrau, Teoh Eng Yoon.

Menyingkap apa yang berlaku pada 2019, Hassan memberitahu, keadaan udara di Pasir Gudang ketika itu sudah tepu kesan daripada pencemaran selain turut dikesan partikel yang tercemar.

Katanya, dengan pelepasan asap daripada kilang-kilang, ia mencetuskan bau kurang menyenangkan dan busuk menyebabkan golongan kanak-kanak dan warga tua menjadi mangsa, lebih-lebih lagi mereka yang mengalami masalah pernafasan.

Hassan berkata, kualiti udara di sini dan keadaan sungai Kim Kim bertambah baik berbanding dua tahun yang lalu.

“Di sini, saya melihat ada sisi positif negara dilanda Covid-19 yang menyaksikan banyak kilang tidak boleh beroperasi dalam jangka masa yang panjang. Positifnya, kualiti udara di kawasan Pasir Gudang bertambah baik,” katanya.

Dalam kesempatan itu, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu turut memuji usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang memasang beberapa alat pengesan bacaan udara di Pasir Gudang sebelum ini.

“Pemasangan alat pengesan itu dibuat secara berperingkat perlu diperluaskan di beberapa lokasi bagi memudahkan pemantauan dibuat. Namun, saya tidak lagi mendengar tentang perkembangan mengenainya.

“Saya harap Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat menguar-uarkan perkembangan perkara ini kepada umum. Dalam pada itu, kita juga akan mendapatkan butiran lanjut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JAS soal hasil pemantauan yang dibuat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya