Op Sukat: Timbalan Pengarah JPJ Perlis ditahan - Utusan Malaysia

Op Sukat: Timbalan Pengarah JPJ Perlis ditahan

TIMBALAN Pengarah JPJ Perlis di bawa keluar dari mahkamah selepas mendapatkan perintah reman selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori di Mahkamah Majistret, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Timbalan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menjadi individu kelima yang ditahan di negeri ini berhubung siasatan mengenai sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya melibatkan jumlah suapan kira-kira RM88,000.

Lelaki berumur 41 tahun itu direman selama dua hari sehingga esok.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Kamaliza Md. Zain di bilik reman Kompleks Mahkamah Kangar di sini hari ini.

Menurut sumber, pegawai gred 44 tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri pada pukul 4.40 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan daripada empat suspek yang ditahan sebelum ini termasuk seorang orang awam yang bertindak sebagai proksi membawa kepada tangkapan tersebut.

“Suspek dipercayai mempunyai transaksi akaun bank dengan proksi yang sekali gus membawa kepada tangkapan ke atas suspek untuk siasatan lanjut.

“Nilai suapan yang diperoleh setiap bulan boleh mencapai antara RM4,000 hingga RM5,000,” katanya.

Suspek disiasat mengikut 17a Akta SPRM 2009.

Sementara itu, sumber juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan bergantung kepada siasatan dan maklumat baharu yang diperoleh daripada suspek-suspek terbabit. 

Pengarah SPRM negeri, Suzeliyana Hashim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut. 

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, seramai 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya termasuk membawa muatan lebih, yang melibatkan jumlah rasuah sebanyak RM1.64 juta.

Mereka dipercayai menerima upah antara RM150 dan RM3,000 sebulan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya