KANGAR: Seorang lagi pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan reman tiga hari selepas dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya melibatkan jumlah suapan kira-kira RM88,000.
Pada masa sama, tempoh reman dua lagi pembantu penguat kuasa Rabu lalu dilanjutkan untuk tempoh sama.
Perintah reman tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Menurut sumber, suspek dari JPJ Perlis itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri semasa lelaki berusia 54 tahun itu hadir untuk memberi keterangan pada pukul 5.40 petang, semalam.
Katanya, tangkapan tersebut dibuat susulan maklumat yang diperoleh daripada tangkapan sebelum ini termasuk seorang orang awam yang bertindak sebagai proksi sindiket tersebut.
“Siasatan mendapati terdapat transaksi akaun bank antara proksi dengan pembantu penguat kuasa tersebut. Ini membawa kepada tangkapan ke atas suspek untuk siasatan lanjut.
“Mereka ini dipercayai menerima suapan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE