OKU mengaku salah curi duit tabung masjid - Utusan Malaysia

OKU mengaku salah curi duit tabung masjid

PEMUDA OKU dihukum penjara lapan hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah cuba mencuri duit tabung masjid di Salor, minggu lalu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penjara lapan hari dan denda RM1,500 merupakan ‘harga’ perlu dibayar seorang lelaki selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba mencuri duit tabung masjid di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor, minggu lalu.

Penganggur, Ahmad Zhaffir Mohamad Asri, 29, yang juga cacat penglihatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, dia didapati dengan niat curang telah melakukan percubaan mencuri duit tabung di Masjid At-Thoyyibah, Kampung Seberang Pasir Mas, Salor di sini pada pukul 2.17 petang, 25 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Roshayati Hassan.

Roshayati dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Anak guam saya hanya melakukan cubaan dan tiada unsur kecurian dilaporkan. Selain itu, pihak masjid juga tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya.

Shahril bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu selain memberi pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara selama lapan hari dan denda sebanyak RM1,500 terhadap tertuduh selain tambahan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar yang ditetapkan. Tertuduh gagal membayar denda tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya