OKU bengkel mini tawar khidmat cuci kenderaan - Utusan Malaysia

OKU bengkel mini tawar khidmat cuci kenderaan

ZAINUDIN Bujang (bersongkok) memerhatikan Syed Mohd. Khairul Syed Idrus (kiri), D. Steven (dua dari kiri) dan Ariffin Jantan (berbaju merah) mencuci kereta di Pusat Jagaan Bengkel Mini Desa Rembau di Kampung Batu Hampar, Rembau. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pusat cuci kenderaan yang beroperasi di Pusat Ja­gaan Bengkel Mini Desa Rembau, Kampung Batu Hampar dekat ini sejak dua tahun lalu, mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Ini kerana ia dikendalikan tiga lelaki golongan orang kurang upaya (OKU) yang juga penghuni harian di pusat jagaan tersebut.

Pengurus pusat jagaan ber­kenaan, Zainudin Bujang, 73, berkata, perkhidmatan mencuci kenderaan tersebut dikendalikan D. Steven, 50; Syed Mohd. Khairul Syed Idrus, 28; dan Ariffin Jantan, 41, yang ketiga-tiga­nya OKU.

Jelasnya, perkhidmatan ter­sebut ditawarkan pihaknya sebagai usaha membolehkan OKU tersebut berdikari dan mendapat wang tambahan selain bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Khidmat membasuh kenderaan ini merupakan antara sumber tabungan pusat jagaan yang menghimpunkan seramai 12 orang OKU terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita.

“Mereka menerima elaun bulanan daripada JKM dan juga komisen daripada aktiviti tabungan ini. Selain menawarkan khidmat membasuh kereta, OKU di sini juga menternak ikan tilapia, puyuh dan juga ayam serta menanam sayur-sayuran untuk dijual di komuniti setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun menurut Zainudin, sejak menawarkan khid­mat membasuh kenderaan tersebut, paling banyak kende­raan yang dibasuh pada satu hari hanyalah sekitar empat buah kenderaan, itupun terdiri daripada ahli jawatankuasa dan juga kenalan terdekat.

Jelasnya, kebanyakan yang hadir lebih banyak berniat untuk bersedekah dan memboleh­kan OKU yang terdiri daripada masalah fizikal dan lembam ini berdikari serta mendapat duit lebih daripada komisen membasuh kenderaan.

“Khidmat ini ditawarkan seawal pukul 8 pagi hingga ke 5 petang. Setiap kali kenderaan dibasuh, saya akan memantau kerja-kerja berkenaan terutamanya di peringkat akhir sebelum kenderaan diserahkan semula kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu Steven berkata, dia menyertai pusat jagaan tersebut selepas mengalami angin­ ahmar yang mengakibatkan dirinya mengalami masalah untuk bergerak dan daya ingatan menjadi terhad.

Bekas jurutera elektrik itu menambah, dia juga menjadi murung apabila anak lelaki tunggalnya meninggal dunia akibat kemalangan, lalu dia memasuki pusat jagaan ber­kenaan bagi mengisi masa terluangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya