Ode Jee teroka pasaran Pantai Timur - Utusan Malaysia

Ode Jee teroka pasaran Pantai Timur

SYED Ibrahim Syed Ahmad (kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis PraPelancaran Aplikasi Ode Jee di sini hari ini sambil disaksikan Yussaini Ali (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif JME Resources Sdn. Bhd. , Alfian Abas (dua dari kanan). UTUSAN/NIK SUKRY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas kira-kira lima bulan dilancarkan di Johor, syarikat pengendali aplikasi makanan halal pertama di Malaysia, Ode Jee mula meneroka pasaran Pantai Timur dengan pelancaran aplikasi itu di sini.

Pemilihan Pahang sebagai lokasi pelancaran bagi Pantai Timur dibuat berdasarkan potensi pasaran dan kemampuan bandaraya Kuantan yang sering dirujuk sebagai pintu masuk utama untuk meneroka pasaran bagi negeri Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ode Jee, Yussaini Ali berkata, sejak diperkenalkan secara tidak rasmi di negeri ini pada Januari lalu, syarikat berkenaan sudah memiliki 300 vendor berdaftar melalui aplikasi itu.

“Jumlah ini adalah satu permulaan yang baik dan kita sasarkan seramai 1,000 vendor masing-masing di Pahang, Terengganu dan Kelantan mendaftar melalui aplikasi Ode Jee menjelang hujung tahun ini.

“Buat masa ini, di Pahang kita sudah ada 300 vendor (berdaftar), manakala di Kelantan dan Terengganu pula, sudah ada kira-kira 250 vendor.. selain itu, kita jangkakan seramai lima juta pengguna akan memuat turun aplikasi Ode Jee dalam masa setahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Aplikasi Ode Jee di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif JME Resources Sdn. Bhd., Alfian Abas.

Yussaini berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk memperluaskan tawaran penggunaan aplikasi Ode Jee ke seluruh negara secara berperingkat bagi memberi pilihan kepada umat Islam mendapatkan perkhidmatan penghantaran makanan dijamin halal.

Sementara itu, Syed Ibrahim menyambut baik usaha dijalankan Ode Jee dan JME Resources kerana memilih Pahang sebagai lokasi pelancaran aplikasi berkenaan untuk peringkat Pantai Timur.

“Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada Ode Jee dan saya harap usaha ini dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang Islam itu sendiri mengenai kepentingan bab halal dan haram membabitkan makanan.

“Saya difahamkan aplikasi Ode Jee akan beroperasi sepenuhnya pada minggu pertama bulan April nanti dan ia sangat bertepatan dengan kedatangan bulan Ramadan.

“Memandangkan Covid-19 masih belum berakhir, jadi bolehlah kita gunakan perkhidmatan Ode Jee untuk memesan juadah berbuka puasa tanpa perlu bersesak di bazar Ramadan, sekali gus dapat memutuskan rantaian pandemik itu sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN