Obor-obor Velella velella terdampar di pantai Terengganu - Utusan Malaysia

Obor-obor Velella velella terdampar di pantai Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hidupan marin berwarna biru yang terdampar di pantai-pantai Terengganu sejak beberapa hari lalu disahkan obor-obor yang dinamakan Velella velella atau ‘by-the wind sailors’.

Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali berkata, spesis yang lazimnya terapung di tengah lautan itu dipercayai dibawa angin dan ombak kuat hingga terdampar di kawasan Pantai Pandak di Chendering di samping Pantai Teluk Ketapang (Kuala Nerus) dan Pantai Rhu Muda (Marang.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan tidak memegang, menyentuh mahu pun menyimpan Velella velella sama ada yang hidup atau mati.

“Velella velella mungkin tidak berbahaya kepada orang dewasa tetapi tidak kepada kanak-kanak berikutan boleh menyebabkan rasa gatal.

“Spesis ini berbeza dengan obor-obor Portuguese man o’ war yang pernah ditemukan di pantai Terengganu pada awal 2020 kerana mempunyai gelembung untuk terapung manakala Velella velella mempunyai layar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zawawi berkata, Portuguese man o’ war turut memiliki ekor yang sangat beracun, namun, Velella velella tidak mempunyai ekor.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menjumpai mana-mana spesis obor-obor untuk segera memaklumkan kepada Pejabat Perikanan berdekatan atau pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

Tular dalam laman sosial seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengalami sesak nafas dan sakit pada bahagian dada selepas tersentuh obor-obor dipercayai Portuguese man o’ war ketika sedang mencari remis di Pantai Mangkuk di Setiu, Jumaat lalu.

Ibu saudaranya, Ain Farahana Mohd. Rudin, 26, berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu menyebabkan anak saudaranya terpaksa dikejarkan ke Hospital Setiu bagi mendapatkan rawatan sebelum keluar petang semalam berikutan keadaan yang beransur pulih. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN