NS tulis surat kepada Melaka, perhalusi semula projek KLIP - Utusan Malaysia

NS tulis surat kepada Melaka, perhalusi semula projek KLIP

AMINUDDIN Harun turut sama mengutip sampah di Sungai Linggi sempena Majlis Perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Pengkalan Kempas, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan telah menulis surat kepada Melaka untuk menilai semula pembinaan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang bernilai RM15 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah atau halangan berhubung projek berkenaan kerana ia dilaksanakan di negeri Melaka.

“Bagi perkara terbaru, kerajaan negeri telah menulis surat kepada kerajaan negeri Melaka supaya perkara ini diperhalusi semula apa juga perbincangan atau persetujuan sekiranya ia ditandatangani kelak.

“Bagaimanapun, kami tidak mempunyai sebarang masalah atau halangan, cuma, apa yang menjadi bantahan adalah mereka tidak ikut peraturan dan nelayan di negeri ini tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Jeti Memancing Pengkalan Kempas, Linggi dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Aminuddin berkata, kerajaan negeri hanya akan membantah pembinaan KLIP sekiranya ia didapati tidak mematuhi laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar.

Tegas beliau, pihaknya tidak mahu projek berkenaan memberi kesan kepada Negeri Sembilan termasuk isu hakisan dan masalah kepada nelayan.

Susulan kenyataan tersebut, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberitahu, kerajaan negeri juga sedia untuk membatalkan projek itu sekiranya tidak mematuhi syarat pembangunan khususnya EIA.

Pengarah Projek Maritim Linggi Base Sdn Bhd (LBSB), Komander (B) Ramli Johari, pula dilaporkan berkata, pembinaan KLIP akan dimulakan antara April hingga Jun ini dengan fasa pertama membabitkan kerja menambak laut bagi membina pulau seluas 248 hektar iaitu 500 meter dari tanah besar dan dimulakan sebaik sahaja EIA diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam pada itu, menurut Aminuddin, apabila kerajaan negeri bersetuju dalam isu sempadan antara kedua-dua buah negeri berkenaan isu pembinaan pelabuhan tersebut, tentunya semua ketetapan oleh EIA perlu dipatuhi terlebih dahulu sebelum projek berkenaan dilaksanakan.

“Kami juga telah menetapkan apabila KLIP itu dibuat walaupun di Melaka, keutamaan mereka bukan sahaja nelayan Melaka, namun, nelayan di kawasan berhampiran khususnya di Sungai Linggi juga harus diberikan keutamaan kerana mereka pastinya terjejas. Kami berharap kerajaan Melaka mengambil serius sebelum pelaksanaan pembinaan KLIP,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak empat kawasan denai sungai baharu dikenal pasti untuk dijadikan sebagai tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

“Empat denai sungai berkenaan terletak di Kuala Pilah, Tampin, Jempol dan Rembau yang melibatkan satu kilometer setiap daerah dibawah Program Denai Kebangsaan.

“Pada mulanya kita mencadangkan 10 kawasan tapi kita mendapat empat lokasi denai berkenaan. Ia merupakan projek kerajaan Persekutuan jadi kami menyambut baik menaik taraf kawasan tersebut. Pembinaan denai sungai ini dicadangkan merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki, laluan berbasikal dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan bagi penggunaan orang ramai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN