SEREMBAN: Negeri Sembilan hari ini kembali mencatatkan penurunan kes harian Covid-19 sehingga satu angka iaitu sebanyak sembilan kes.
Negeri ini pernah mencatatkan bilangan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,392 kes pada 24 Februari lalu menerusi Kluster Industri Sungai Gadut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan, sehingga 12 tengah hari tadi terdapat sembilan kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS).
“Daripada sembilan kes baharu berkenaan, lapan daripadanya merupakan kes yang direkodkan di daerah Seremban antaranya satu kes bagi Kluster Industri Tekstil Nilai, dua kes saringan Kluster Jalan Perdana dan satu kes saringan Kluster Industri Permata.
“Satu lagi kes direkodkan di daerah Tampin iaitu satu kes saringan kes Kluster Industri Gunung Mas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Veerapan berkata lagi, terdapat 367 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir) di negeri ini.
Tambahnya, sehingga kini, terdapat 25 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan.- UTUSAN ONLINE