KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang dilihat kewujudannya untuk memusnahkan parti itu.
Dalam ucapan dasar Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Bersatu hanyalah sebuah parti kecil yang diwakili pemimpin minoriti yang mahukan kuasa.
“Bagi kita No DAP, No Parti Keadilan Rakyat (PKR) is ‘Done Deal’ dan ia tidak boleh dipertikaikan. Kita setuju 100 peratus.
“Cuma kita hanya tambah satu lagi, ‘No DAP, No PKR dan No Bersatu’ sebab kita tahu tujuan asal Bersatu memang untuk musnahkan kita. Mereka sudah kehilangan baja dan sangat mengharapkan UMNO menjadi baja untuk mereka hidup dan subur kembali,” katanya.
Zahida Zarik mempersoalkan sama ada UMNO perlu membantu Bersatu yang berkemungkinan juga mengkhianati parti itu kelak.
“Bersatu tumbuh dari benih yang tersisih dari pokok asal UMNO. Ia hidup hanya kerana mendapat baja dari DAP dan PKR.
“Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok dedalu parasit yang menumpang kita dan kita tahu pasti akan membunuh kita di masa depan?” soalnya. – UTUSAN ONLINE