Nilai GDV Projek Lok Kawi Resort City, Sabah RM7 bilion, bukti keyakinan pelabur - Utusan Malaysia

Nilai GDV Projek Lok Kawi Resort City, Sabah RM7 bilion, bukti keyakinan pelabur

MUHYDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keyakinan pelabur-pelabur tempatan dan asing membuat pelaburan di Sabah menunjukkan potensi kerajaan negeri itu mengupayakan tanah dan sumber untuk dimajukan demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, selain pelaburan projek pembangunan kawasan Meruntum Lok Kawi, terdapat beberapa lagi pelaburan tempatan dan asing berskala besar berjaya ditarik masuk kerajaan negeri itu.

Kata beliau, Projek Lok Kawi Resort City dengan jangkaan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7 bilion itu bakal memberi pulangan jangka masa panjang kepada Sabah.

Menurut beliau, ia sekali gus membuka ruang luas untuk kemasukan pelabur, pembeli hartanah dan pelancong dalam dan luar negara.

“Kita sedar bahawa buat masa ini kekangan pandemik Covid-19 mengehadkan kemasukan pelancong luar, namun, saya yakin dengan pelaksanaan vaksinasi secara menyeluruh menjelang akhir tahun ini, negeri Sabah yang kaya dengan tarikan pelancongan akan kembali aktif menerima pelancong-pelancong dari luar negara sekali gus merancakkan kembali ekonomi negeri.

“Bagi pihak kerajaan Persekutuan, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada syarikat Tegas Bangsa Sdn. Bhd. yang merupakan rakan sekutu dengan Kumpulan Pavilion yang berkeyakinan melaburkan sejumlah besar pelaburan untuk projek pembangunan di negeri ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Lok Kawi Resort City di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu hari ini.

Muhyiddin berkata, Projek Lok Kawi Resort City merupakan projek pembangunan bercampur iaitu mengandungi pejabat, perumahan, hotel, pusat beli-belah dan taman tema.

Katanya, walaupun projek itu dijangka siap dalam tempoh 15 tahun, namun beliau pasti projek pembangunan itu berbaloi untuk dinantikan detik siapnya kelak seluruh rakyat di negeri tersebut.

Beliau pada masa sama memberi jaminan sokongan kerajaan Persekutuan terhadap pelan pembangunan seperti itu dan sudah tiba masanya kerajaan negeri Sabah mengambil langkah berani mengorak langkah untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama bersama pelabur luar dalam melaksanakan projek-projek pembangunan secara Private Finance Initiative (PFI) dengan lebih meluas.

“Kerajaan Persekutuan akan memastikan Sabah mendapat layanan yang adil dalam semua aspek. Hasrat ini telah pun direalisasikan dengan pewujudan portfolio Hal Ehwal Sabah Sarawak dalam Kabinet Persekutuan untuk membolehkan lebih banyak perhatian diberikan terhadap negeri Sabah.

“Kerajaan komited untuk mengurangkan jurang pembangunan di negara ini sebagaimana yang selalu saya sebutkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kerajaan beriltizam menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan terangkum pada semua peringkat termasuk merentas sempadan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya dipacu oleh eksport, sentimen pelabur amat penting sebagai sumber penciptaan pekerjaan.

Dalam aspek ini, katanya, keyakinan dalam pasaran Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing berdasarkan pelaburan sebanyak RM18.3 bilion dalam pasaran bon sehingga akhir Disember 2020.

“Saya yakin dan percaya, kerajaan negeri Sabah melalui pelbagai inisiatif yang dilakukan dapat membela nasib anak-anak muda terutama yang masih menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Projek-projek pembangunan yang dimeterai hari ini diharapkan menjadi salah satu ikhtiar penyelesaian kepada masalah pengangguran yang semakin meningkat. Peluang yang tersedia boleh dimanfaatkan seluruh rakyat semasa pembangunan projek dan selepas projek siap sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN