Nestle tubuh stesen transit kuarantin  - Utusan Malaysia

Nestle tubuh stesen transit kuarantin 

AMIRUDIN (dua kanan) mendengar taklimat daripada Aranols berkaitan Stesen Transit Kuarantin (QTS)di Hotel Pegasus,Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengeluar makanan dan minuman terbesar dunia, Nestle Malaysia Bhd. (Nestle) menubuhkan Stesen Transit Kuarantin (QTS) bagi membantu usaha memerangi pandemik Covid-19.

Hotel Pegasus, Seksyen 15 menjadi pusat kuarantin pertama yang ditubuhkan oleh pihak swasta yang berfungsi menempatkan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit atau Orang Di Bawah Pengawasan (PUS).

Ketua Pengarah Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, QTS yang meliputi sebanyak 100 bilik hotel sebagai lokasi kuarantin dan beroperasi selama dua bulan bermula hari ini.

Menurutnya, pusat kuarantin itu membantu PUS yang menghadapi kekangan kuarantin kendiri di rumah untuk mengasingkan diri dengan lebih selesa dan selamat.

“Mereka dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti penggunaan pintu masuk dan lif kuarantin khas dan dapur berasingan.

“Semua individu ini akan dipantau pihak berkuasa termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran QTS Nestle yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud.

 Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri amat mengalukan-alukan kerjasama semua pihak termasuk swasta dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Kerjasama seumpama ini julung kali dilaksanakan bersama pihak swasta bagi membuka stesen transit kuarantin Covid-19.

“Individu yang ditempatkan di QTS  Nestle akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dan hospital berkaitan sekiranya didapati positif,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN