PONTIAN: Kira-kira 30 nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Durian, Serkat, di sini merayu kerajaan meluluskan lesen nelayan pantai bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan menangkap hasil laut tanpa berasa bimbang ditahan pihak berkuasa.
Ketua Pengkalan Nelayan Sungai Durian, Norkhairul Nizam Razali, 41, berkata, daripada 70 nelayan di situ, sebahagian mereka masih tidak mempunyai lesen namun terpaksa turun ke laut bagi menyara kehidupan keluarga.
Katanya, isu lesen nelayan pantai telah lama berlaku yang mana proses pemberian lesen sebelum ini tidak menyeluruh kerana hanya beberapa orang memperolehnya sementara nelayan lain terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.
“Kami sangat terdedah dengan risiko ketika berada di laut tanpa lesen menangkap ikan yang sah, namun tiada pilihan malah tidak mendapat sebarang bantuan.
“Ini termasuk bantuan elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi dan bantuan khas daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut Norkhairul Nizam, sama ada nelayan berlesen atau tidak, mereka kini terpaksa keluar dari kawasan perairan Tanjung Piai sehingga ke Pantai Penerok dan Pantai Rambah untuk mencari rezeki.
“Kawasan di sini sudah kekurangan sumber sama ada untuk menjaring udang atau merawai ikan disebabkan pelbagai aktiviti pembangunan yang dijalankan sejak akhir-akhir ini,” jelasnya.
Sementara itu, komuniti nelayan juga bercadangmeneroka industri hiliran dengan hasil-hasil perikanan sebagai pendapatan tambahan memandangkan masa depan mereka juga semakin tidak menentu.
Sehubungan itu, dia berharap ada mana-mana pihak dapat membantu para nelayan yang sebahagiannya telah berusia bagi memperoleh sumber pendapatan baharu untuk keluarga masing-masing.
Sementara itu, bagi Mohd. Ridzuan Hussin, 35, pendapatan nelayan ketika ini sudah tidak menentu malah terpaksa keluar jauh kira-kira 30 kilometer dengan mengambil masa perjalanan 40 minit untuk ke lokasi tangkapan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan nelayan terpaksa menanggung kos minyak yang agak lebih namun hasil tangkapan pula kerap kali tidak ‘balik modal’ dan sekadar cukup untuk belanja dapur.
“Rata-rata kami memperoleh pendapatan kurang daripada RM100 sehari malah ada yang mendapat RM50 sahaja belum termasuk kos minyak dan sebagainya.
”Kebanyakan nelayan turun ke laut pada sebelah pagi bagi menjaring udang sehingga tengah hari, manakala merawai ikan biasanya keluar pada sebelah petang hingga tengah malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE