Nelayan, pemancing disaran guna PLB - Utusan Malaysia

Nelayan, pemancing disaran guna PLB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Golongan nelayan dan pemancing di negeri ini disaran menggunakan peralatan komunikasi seperti suar pengesan personel (PLB) bagi memudahkan usaha pencarian sekiranya berlaku kecemasan di tengah laut.

Komander Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, alat berkenaan mampu memberi petunjuk kepada pasukan penyelamat untuk segera memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa tragedi.

“Setakat ini, penggunaan alatan itu tidak diwajibkan, namun, digalakkan sebagai langkah keselamatan kepada orang ramai yang melakukan aktiviti di laut.

“Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, PLB boleh menghantar isyarat secara automatik kepada bilik gerakan menyelamat,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Malaysia Kemaman di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, PLB mudah didapati di pasaran dengan harga kira-kira RM1,000.

Dalam pada itu, katanya, sehingga petang ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pemancing yang masih hilang di perairan Kemaman belum menemui sebarang petunjuk.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu hari ini melakukan tinjauan udara dengan menggunakan pesawat AW189 dari Pengkalan Udara Subang bagi mengesan kesemua pemancing berkenaan.

Ketua Zon 2 JBPM negeri, Azman Alias berkata, pencarian bermula dari muara Kemaman hingga ke Pulau Ular di Kuantan, Pahang dengan keluasan 220 kilometer persegi pada ketinggian 500 kaki.

“Keadaan hujan lebat menyukarkan lagi usaha pencarian kerana pemandangan menjadi terhad,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN