GEORGETOWN: Tindakan sekumpulan lima nelayan warga Indonesia mencari hasil ikan secara haram di perairan negara berjaya dipatahkan selepas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada kedudukan 32.3 batu nautika barat Pulau Kendi, di sini semalam.
Lelaki berusia 18 hingga 45 tahun itu diberkas anggota KM Burau semasa melakukan rondaan Op Pertiwi/Op Benteng/Op Tanjung kira-kira pukul 5 petang.
Kru warga asing termasuk seorang tekong tersebut sebelum itu dikatakan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di atas bot dan mereka memberi kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Abd. Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga Indonesia terbabit gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda RM6 juta manakala kru pula didenda RM500,000 setiap seorang dengan penjara maksimum setahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, bot bersama warga asing tersebut dibawa ke Jeti Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain pihaknya menerima perolehan Floating Jetty bagi memudahkan urusan tambatan aset-aset agensi terbabit dan bot tahanan di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban di sini.
Majlis tersebut disempurnakan Ketua Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Timur Laut, Ir. Abdul Rahman Azzam Che Sobry.
Hadir sama ialah Ketua Cawangan Prasarana & Infrastruktur, Bahagian Pembangunan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Komander Maritim Amir Shubli.