Negeri Sembilan sasar pelaburan berkualiti  - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan sasar pelaburan berkualiti 

MOHAMAD Rafie Ab Malek (dua, dari kanan) pada sidang akhbar Webinar Pelaburan di NS Corporation, Menara MAINS, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan untuk membawa masuk pelaburan berkualiti ke negeri ini bagi menjana pendapatan yang lebih baik kepada rakyat dalam keadaan ekonomi tidak menentu ekoran pandemik Covid-19 ketika ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, pelaburan berkualiti tersebut bermakna menggunakan tenaga kerja yang mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi serta pelaburan biodiversiti yang tidak merosakkan alam sekitar. 

“Ini bermakna kita tidak lagi berminat dengan pelaburan yang menggunakan pekerja yang ramai dan merosakkan alam sekitar sebaliknya kita menekankan pelaburan yang meningkatkan kualiti rakyat. 

“Jadi, rakyat boleh bekerja dan berniaga, jika bekerja, pendapatan haruslah jauh lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mempromosikan Webinar Pelaburan di NS Corporation di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini. 

Mohamad Rafie berkata, perkara tersebut selaras dengan hasrat kerajaan meningkatkan pendapatan dan kualiti pendidikan rakyat dengan memastikan generasi muda mempunyai kemahiran. 

“Kita sangat berhati-hati dalam membawa pelabur ke negeri ini bagi memastikan pelaburan yang dibawa masuk benar-benar bermanfaat daripada segi ekonomi dan rakyat. 

“Negara kita masih mengekalkan perdagangan dengan negara-negara dari Eropah, Amerika Syarikat, Taiwan, Jepun dan Korea dan kita juga fokuskan untuk melakukan misi perdagangan dengan negara lain,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan program misi perdagangan secara maya bagi menarik kemasukan pelabur dari lapan buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Taiwan, Jepun, Turki, Jerman, Korea Selatan dan China secara bersiri bermula 31 Mac ini. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai Webinar Pelaburan yang akan diadakan pada 23 Mac depan, Mohamad Rafie berkata, webinar tersebut akan memberi pendedahan kepada pelabur dan masyarakat berhubung perniagaan dalam keadaan norma baharu.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya