Negeri bersempadan majukan sungai bersama - Utusan Malaysia

Negeri bersempadan majukan sungai bersama

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan akan memperkenalkan cadangan agar negeri-negeri yang bersempadan untuk memajukan projek pembangunan lembangan sungai bersama sebagai kerjasama strategik bagi memperkemaskan pengurusan sumber air.

Pada masa ini, kerjasama tidak pernah diadakan berikutan pengurusan sumber bahan mentah itu dilakukan secara berasingan mengikut pentadbiran air negeri.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama seperti itu adalah lebih bijak apabila negeri-negeri yang berkongsi lembangan sungai bukan sahaja memajukan tetapi juga menjaga kepentingan punca air.

Menurut beliau, cadangan itu yang telah diperhalusi merupakan langkah kerajaan untuk memastikan pengurusan sumber air dan perkhidmatannya dilaksanakan secara sinergi.

“Contohnya, ketika ini lembangan sungai antara negeri-negeri bersempadan tidak dibangunkan kecuali di Sungai Muda, Kedah yang menjadi sumber bekalan air bagi selatan Kedah dan Pulau Pinang

“Ini adalah perkara baharu yang tidak pernah diadakan apabila pada masa hadapan tidak perlu lagi dua buah negeri membina loji air yang sama sebaliknya boleh dikongsi. Mungkin satu loji boleh dibina tetapi pengurusan sumber air itu dijalankan bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di sini.

Terdahulu, majlis dirasmikan bersama oleh Tuan Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Menurut Tuan Ibrahim, menerusi kaedah tersebut, kos pengurusan sumber air juga dapat dijimatkan apabila dibiayai secara perkongsian manakala air yang terawat pula boleh dijual kepada pihak lain manakala perkara itu perlu diperincikan.

“Sebenarnya kita mempunyai banyak air tetapi sebahagian besarnya dilepaskan ke laut sedangkan sumber ini sepatutnya dimanfaatkan,” ujarnya.

Kata beliau, kerajaan juga berhasrat agar penjualan sumber air mentah dapat dilakukan berdasarkan kualiti sumber air sekali gus menggalakkan penjagaan sumber air dan alam sekitar.

“Ini juga memberi dorongan kepada negeri yang membekalkan sumber air mentah untuk menjaga punca air.

“Ketika ini kadar harga jualan air mentah adalah berbeza-beza mengikut negeri dengan caj terendah ialah satu sen sehingga 13 sen bagi setiap 1,000 liter,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN