Negara perlu keluar daripada defisit demokrasi - Tok Mat - Utusan Malaysia

Negara perlu keluar daripada defisit demokrasi – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia mesti keluar daripada apa yang disifatkan sebagai defisit demokrasi dengan mengambil kira situasi yang berlaku dalam negara kebelakangan ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan ahli Parlimen yang mengetepikan prinsip dan nilai selain kedudukan Parlimen yang digantung membawa demokrasi negara dalam keadaan semakin menyusut dan merosot.

Kata beliau, Malaysia pascamoden sewajarnya boleh menjadi teladan kepada negara membangun lain tentang bagaimana demokrasi negara berevolusi dalam sistem demokrasi yang sarat dengan kearifan tempatan dan membuahkan pelbagai kejayaan dengan menjadi negara membangun paling berjaya.

“Namun sebaliknya yang berlaku. Kita semakin mundur dari segi kualiti kepemimpinan dengan ahli Parlimen bertindak sesuka hati atas perkiraan peribadi dan bukan prinsip serta nilai. Kebebasan bersuara dan berekspresi semakin mengecil dengan pelbagai ordinan dan tindakan yang menanam ketakutan dan bukannya pertanggungjawaban.

“Apatah lagi bila Parlimen digantung dan Perlembagaan dilumpuhkan, semua ini adalah kesusutan nilai demokrasi yang sangat dibimbangi. Malaysia mesti keluar dari defisit demokrasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, negara ini harus diurus dengan lebih baik dan unggul dengan menampilkan amalan demokratik yang lebih maju namun membiarkan negara dalam kedudukan sekarang disifatkan beliau sebagai sangat mendukacitakan.

“Kepada semua rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memperbaiki kedudukan demokrasi Malaysia. Sama ada kita seorang menteri Kabinet atau penjawat awam, ahli politik pembangkang atau kumpulan masyarakat sivil mahupun hanya orang biasa, marilah kita mengembalikan amalan demokrasi di Malaysia ke tahap dan kedudukan lebih baik.

“Negara ini adalah tanah air yang istimewa buat semua penduduknya. Ia bukan hak milik peribadi atau sesiapapun dan tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati. Negara ini adalah hak semua untuk semua, rakyat negara ini mengimpikan watan idaman yang benar-benar akan memberikan mereka rasa kepunyaan kepada Malaysia,” katanya.

Jelas beliau lagi, semua pihak perlu melakukan apa yang termampu untuk memperbaiki demokrasi di negara ini supaya akhirnya ia akan menjadi lebih baik dan maju. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya