Nasib pekerja industri kreatif akhirnya dibela - Utusan Malaysia

Nasib pekerja industri kreatif akhirnya dibela

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 300,000 pekerja yang terlibat dalam industri kreatif tempatan kini boleh menarik nafas lega apabila diberikan kelonggaran berkarya di seluruh negara mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia hasil rayuan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Impak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) katanya menjejaskan pekerja perfileman, muzik dan 45 acara langsung.

“Setelah dibuat penilaian risiko pelbagai agensi terlibat, mesyuarat bersetuju membenarkan acara langsung dengan kehadiran terhad penonton,” kata beliau dalam sidang akhbar hari ini.

Bagi negeri berstatus PKPB, hanya 50 peratus kapasiti ruang acara dan mematuhi penjarakan fizikal manakala di negeri PKPP pula mengikut keluasan premis tertakluk aspek jarak.

Beliau menambah, acara dibenarkan ialah program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, tari, teater, muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan serta aktiviti ‘livestreaming’.

Bagaimanapun, ia terhad di lokasi dikhaskan berlesen sah sahaja seperti dewan konvensyen, galeri pameran, pusat dagangan, premis seni dan tempat berstatus MICE diperakui kerajaan.

“Prapendaftaran atau penjualan tiket mesti dalam talian sahaja termasuk aktiviti pembelian makanan dan minuman yang dilakukan secara prapesan serta berbungkus,” kata Ismail Sabri.

Penjarakan fizikal ujar beliau, sekurang-kurangnya 1.5 meter antara setiap tempat duduk penonton bahkan ditetapkan minimum dua meter daripada artis, pemuzik, penari di pentas.

Pasukan pemantau atau penyelia pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga bertugas untuk memastikan semua hadirin akur peraturan ditetapkan sepanjang acara berlangsung.

Penganjur program katanya, wajib menayangkan pesanan khidmat masyarakat daripada pihak kerajaan berkaitan Covid-19 sebelum, semasa dan selepas setiap program berkenaan.

Menyentuh isu penggambaran di luar studio, beliau memaklumkan ia tertakluk kepada SOP Pembangunan Kandungan Kreatif ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Untuk persembahan di lounge hotel, MKN benar kehadiran pengunjung hingga 50 peratus ruang bagi negeri berstatus PKPB dan ikut jarak fizikal di negeri dikenakan PKPP,” katanya.

Perincian lanjut mengenai segala SOP bagi industri kreatif tempatan itu jelas Ismail Sabri, boleh dirujuk terus melalui laman sesawang rasmi pihak kementerian tersebut dan MKN. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN