Naga Kern ‘serang’ Terengganu - Utusan Malaysia

Naga Kern ‘serang’ Terengganu

WAU naga sepanjang 70 meter diterbangkan kumpulan belia di Kuala Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan yang lalu memberi inspirasi buat seorang peminat permainan tradisional dari Kampung Raja, Chendering di sini untuk menghasilkan wau naga sepanjang 70 meter.

Syed Nizam Syed Ahmad, 39, berkata, walaupun tiada sebarang kepakaran dalam pembuatan jenis wau itu, tetapi dia lega kerana wau berkenaan dapat diterbangkan dengan sempurna.

Katanya, wau naga yang dinamakan Kern itu kali pertama diterbangkan pada 19 Februari lalu dengan disaksikan kala­ngan ahli keluarga dan sehingga kini jumlah penerbangannya me­lebihi 10 kali.

“Kami adik-beradik sudah biasa bermain dan membuat wau sejak kecil lagi, cuma, untuk wau naga ini adalah percubaan pertama yang saya siapkan secara perlahan-lahan pada masa lapang selepas pulang dari kerja dan hujung minggu.

“Saya memilih naga kerana rekaannya unik berbanding wau tradisional lain dan walaupun berdepan cabaran sama ada boleh terbang atau tidak, tetapi, saya sangat berpuas hati kerana ia dapat naik dengan sempurna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Syed Nizam berkata, bahan-bahan yang digunakan bagi penghasilan wau naga itu ialah gentian yang dibeli dari Indonesia, buluh dan kertas dengan kos keseluruhan mencecah RM500.

Katanya, Kern mula mendapat perhatian ramai ketika diterbangkan bersama satu lagi wau naga yang dihasilkan kumpulan belia di Kampung Tok Dir di sini baru-baru ini.

Menurut penjawat awam itu, formula bagi menghasilkan wau adalah ketepatan ukuran dan dia kini dalam proses menghasilkan satu lagi wau naga yang lebih besar dengan panjang 80 meter dan diameter kepala 0.5 meter.

“Badan wau naga dihasilkan menggunakan fiber manakala kerangka kepala pula diperbuat daripada buluh.

“Wau naga kedua dijangka siap tiga bulan lagi dan harapan saya untuk menerbangkan kesemua wau berkenaan di jambatan angkat (drawbridge) sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung di mercu tanda ikonik Terengganu itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya