MyKasih Kapital diperkenal - Utusan Malaysia

MyKasih Kapital diperkenal

MUHYDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan insentif tambahan untuk memberi faedah secara langsung kepada wanita, dikenali sebagai MyKasih Kapital iaitu satu bentuk suntikan modal perniagaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai  contoh, pemberian insentif itu untuk mereka yang terlibat dalam bidang e-dagang atau dropship dengan modal maksimum sebanyak RM1,000 kepada sekurang-kurangnya 2,000 penerima yang berkelayakan.

Menurut beliau, kerajaan juga akan menubuhkan Skuad WAJA yang dibentuk melalui penyertaan komuniti wanita. 

“Ia  akan turut memberikan sokongan psikososial  dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah bagi menghentikan keganasan terhadap wanita serta memperkasakan pengetahuan umum mengenai hak-hak wanita,” katanya dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Wanita 2021 secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata,  kerajaan sebelum ini mengumumkan pelbagai kemudahan kepada wanita khususnya dalam fasa pemulihan negara akibat pandemik Covid-19 iaitu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi melalui inisiatif PRIHATIN, PENJANA dan PERMAI serta Belanjawan 2021.

Kata Perdana Menteri, MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia turut dilancarkan yang memberi manfaat serba inklusif dan dapat dirasai lebih ramai termasuk usahawan wanita di gerai-gerai kecil yang kini sudah berpeluang untuk memasarkan produknya dengan lebih meluas dengan bantuan teknologi. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi menggalakkan shared responsibility dan  membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia disarankan melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Katanya, inisiatif itu merangkumi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.

“Selain itu, saya juga telah meminta dikaji sekiranya kemudahan BDR ini dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan bagi membolehkan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menggesa semua pihak memberikan perhatian kepada keperluan beberapa perkara kepada golongan wanita seperti menyediakan persekitaran kerja yang selamat termasuk memastikan adanya usaha-usaha pencegahan daripada berlakunya gangguan seksual.

Katanya, apa sahaja aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program menggunakan analisis gender perlu dititikberatkan melalui bajet yang responsif gender. 

Menurut beliau, kerajaan juga menyediakan geran bagi penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak  (Taska) sama ada di sektor awam mahupun swasta, justeru, mana-mana pihak diminta mengambil peluang itu untuk menyediakan kemudahan penjagaan tersebut yang akan  memberikan kesan multiplier kepada banyak pihak. 

“Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 iaitu “Women in leadership : Achieving an equal future in a Covid-19 world”, amatlah penting suara-suara wanita ini didengar di peringkat lebih tinggi dan diberikan mereka tempat sebagai pembuat keputusan sewajarnya, sesuai dengan bidang kepakaran masing-masing. 

“Bagi memastikan pemerkasaan wanita terus menjadi agenda penting negara, saya menyambut baik cadangan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya Model Pemerkasaan Wanita menjadi pemacu pembangunan wanita di negara ini. 

“Saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif. Dengan inisiatif ini lebih ramai wanita bangkit mendepani cabaran semasa,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya