Murid sedih tidak 'dibenarkan' bersekolah - Utusan Malaysia

Murid sedih tidak ‘dibenarkan’ bersekolah

SITI NUR PUTERI BALQIS menunjukkan pakaian seragam sekolah yang disumbangkan oleh orang ramai tetapi tidak boleh ke sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Dua kecewa apabila dia tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk ke sebuah sekolah rendah pada Isnin minggu lalu selepas berlaku kekeliruan mengenai dokumen kelahirannya.

Keadaan itu menyebabkan Siti Nur Puteri Balqis Abdullah, 8, yang masih tidak faham keadaan sebenar, sedih dan bingung kerana dia sebenarnya pernah menjadi murid Tahun Satu di sekolah sama sebelum ini.

Ibu saudaranya, Siti Nur Aimuni Mat Yunan, 29, berkata, Siti Nur Puteri Balqis dijaga seperti anak kandung selepas kedua ibu bapa meninggalkannya tanpa khabar berita sejak dia berusia tiga hari.

Katanya, masalah berlaku apabila pihak sekolah tidak membenarkan anak saudaranya itu mendaftar masuk sebagai murid tahun dua selepas pihak sekolah mencurigai dokumen kelahiran.

Ujarnya, pihak sekolah juga memaklumkan bahawa pendaftaran kemasukan Siti Nur Puteri Balqis perlu ditangguhkan sementara waktu sebelum dokumen kelahirannya selesai.

“Saya telah meminta penjelasan lanjut daripada pihak sekolah, namun masih belum ada jawapan sehingga kini. Dia sudah mendaftar masuk sekolah tahun lalu dan kami masih kabur punca anak saudara saya tidak boleh masuk tahun ini.

“Saya sendiri telah pergi ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyelesaikan masalah Siti Nur Puteri Balqis ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Merbau di sini hari ini.

Menurutnya, Siti Nur Balqis memiliki sijil kelahiran berwarna merah iaitu bukan warganegara sejak lahir, namun pihak sekolah menerimanya untuk mendaftar pada tahun lalu.

Katanya, dia sedih mendengar rintihan anak saudaranya itu yang ingin pergi ke sekolah selepas melihat rakan-rakannya yang lain sudah belajar hampir dua minggu.

Menyentuh mengenai ibu bapa Siti Nur Balqis, menurut Siti Nur Aimuni, dia sudah mencari abang kandungnya Mohd. Samsul Bahari, 40, dan isteri lelaki itu, Sarina Poh Chi, 43, seorang warga Thailand.

“Saya bersama ayah, Mat Yunan Hamad, 58, sudah mencari abang sejak lima tahun lalu, namun gagal.

“Ayah juga telah mencari abang di Tak Bai, Thailand selepas mendapat maklumat bahawa dia bekerja sebagai penjual ikan di situ. Sehingga kini, masih belum ada khabar berita mengenainya,” katanya.

Menurutnya, dia memohon bantuan orang ramai untuk membantu mencari Mohd. Samsul Bahari untuk menyelesaikan dokumen kelahiran agar anak saudaranya itu mendapat taraf kewarganegaraan yang sah.

Sementara itu, Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab.Razak ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan dokumen kelahiran yany dimiliki oleh Siti Nur Balqis adalah sah cuma kanak-kanak itu bukan bertaraf warganegara.

Katanya, JPN hanya mendaftar kelahiran kanak-kanak itu berdasarkan dokumen yang dikemukakan ketika mendaftar kelahiran.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya