PADANG BESAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping di sini sudah digazetkan sebagai tidak selamat untuk diduduki berikutan terdapat mendapan di kawasan padang di sekolah berkenaan yang boleh mengundang risiko kepada murid-murid.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatan kuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad menegaskan, atas faktor keselamatan yang perlu diberikan keutamaan itu, 260 murid di sekolah berkenaan perlu dipindahkan segera buat sementara waktu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer.
Malah katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis juga sudah mengenal pasti tapak sesuai di kawasan Chuping untuk pembinaan sekolah baharu selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak boleh menunggu sekolah baharu dibina baru berpindah sebaliknya proses pemindahan sementara itu perlu dilakukan segera atas faktor keselamatan.
“Kita sudah jumpa PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sekolah itu sebelum ini bagi mencapai konsensus mengenai isu tersebut. Dari segi struktur bangunan sekolah memang disahkan selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun
hasil kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains mengesahkan memang ada berlaku mendapan tanah.
“Sejak saya memegang jawatan sebagai Exco Pendidikan, faktor keselamatan ini memang diberikan keutamaan. Persekitaran di sekolah itu sudah digazetkan sebagai tidak selamat.
“Kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku seperti kejadian tanah jerlus seperti di Kem Oran dahulu. Di kawasan sekolah, bahaya. Kita risau sewaktu sesi pengajaran berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Tambah Rozieana, JPN Perlis akan menguruskan perpindahan sementara ke SMK Mata Ayer itu dalam tempoh terdekat.
“Jika ibu bapa nak pindahkan anak-anak ke sekolah lain berhampiran pun tidak mengapa. Kita tunggu JPN dapatkan data-data murid ini terlebih dahulu sebelum proses perpindahan itu dilakukan.- UTUSAN ONLINE