KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Mei ini untuk mendengar permohonan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi untuk membatalkan perintah injunksi (sekatan) yang diperolehi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya.
Pada tarikh tersebut, Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril akan turut mendengar permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak).
Terdahulu, hakim tersebut membenarkan permohonan injunksi ad-interim (injuksi baharu) oleh Ahli Parlimen Pagoh itu yang diwakili peguam, Rosli Dahlan terhadap Mohd. Puad.
Permohonan tersebut dibenarkan selepas Mohd. Puad yang diwakili peguam, G. Rajasingam memaklumkan mahkamah, pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap injunksi ad-interim itu.
Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin memfailkan saman fitnah terhadap Mohd. Puad atas kapasiti peribadi.
Menurut saman yang difailkan, Mohd. Puad yang dinamakan sebagai defendan tunggal didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Februari lalu.
Kenyataan fitnah dibuat dalam laman Facebooknya di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.
Kenyataan itu antara lain mempersoalkan tempoh kuarantin yang dijalani Muhyiddin selaku plaintif pulang ke tanah air selepas lawatan rasmi ke Indonesia.
Kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Perdana Menteri sebagai tidak mempedulikan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan menyalahgunakan kuasanya bagi membolehkan Kabinet yang mengikuti rombongan ke Indonesia termasuk dirinya tidak perlu menjalani kuarantin wajib.
Sehubungan itu, Muhyiddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang ditentukan oleh mahkamah.
Plaintif turut memohon satu permohonan maaf yang akan diterbitkan di laman Facebook Mohd. Puad dan juga di semua portal berita dan laman sosial yang telah menerbitkan pernyataan fitnah itu.
Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -UTUSAN ONLINE