KUALA LUMPUR: Berlegar khabar angin bahawa mesyuarat Majlis Tinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, di sini malam ini dijangka membuat keputusan mengejutkan termasuk memecat pemimpin parti itu.
Khabar itu berlegar menerusi satu mesej WhatsApps yang tular petang ini mendakwa ada pemimpin parti bakal dipecat.
Malah mesej itu mendakwa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bakal membawa usul sewaktu Perhimpunan Agung UMNO 2020 esok untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta.
Jika usul tersebut jadi dibentang dan diluluskan, maka esok semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari UMNO perlu meletak jawatan serta-merta.
Sumber Utusan Malaysia mengesahkan khabar itu dengan dijangka ada kejutan selepas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya sudah menjadi kebiasaan setiap kali perhimpunan tahunan berkenaan akan diadakan mesyuarat MT sehari menjelang acara kemuncak perhimpunan.
Namun perkara itu menjadi luar biasa ketika mana UMNO sebelum ini memutuskan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum akan datang.
Keputusan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin UMNO yang cenderung kepada Bersatu tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.
Antaranya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang lantang mengkritik parti.
Untuk maklumkan, Shahidan adalah Pengerusi PR1MA manakala Annuar pula Menteri Wilayah Persekutuan. – UTUSAN ONLINE