SHAH ALAM: Pusat Perubatan Management & Science University (MSUMC) dipilih sebagai salah sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) oleh Kementerian Kesihatan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung ketika ini.
Pengasas MSUMC, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Kementerian Kesihatan kira-kira sebulan lalu dan terpilih berdasarkan fasiliti dan kemudahan yang terdapat di pusat perubatan tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan memilih MSUMC sebagai salah sebuah PPV di negara ini.
“Kita akan buat sebaik mungkin untuk membantu kerajaan bagi menjayakan PICK,” katanya selepas membuat pemantauan PPV di MSUMC, Seksyen 13 di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 450 pegawai perubatan MSUMC akan menerima vaksin Covid-19 dalam fasa pertama PICK, bermula semalam sehingga Ahad ini.
Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan vaksin di pusat tersebut semasa fasa kedua program terbabit yang dijangka bermula pada bulan depan.
“Mereka yang terpilih untuk disuntik vaksin Covid-19 di sini berdasarkan pemilihan yang dibuat aplikasi MySejahtera.
“Kepada yang terpilih, saya harap mereka dapat hadir pada waktu yang telah ditetapkan di dalam aplikasi tersebut untuk memastikan proses vaksinasi dapat berjalan lancar,” katanya.
PPV di MSUMC dibuka setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang.