HULU TERENGGANU: Walaupun bertubuh kecil, kecekapan Tengku Embat Tengku Ngah, 69, mengendalikan bot pelancong di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia, Tasik Kenyir di sini setanding dengan kaum lelaki.
Nenek kepada tujuh cucu dari Kampung Tengkawang itu merupakan antara dua wanita besi yang tidak gentar meredah tasik yang luas di destinasi pelancongan berkenaan bagi mencari rezeki buat keluarga.
Tengku Embat yang lebih dikenali sebagai Mokku berkata, penglibatannya dalam kerjaya itu bermula tanpa diduga selepas kematian suami pada 1997.
Katanya, berbekalkan semangat untuk menyara keluarga terutama enam anak, dia memberanikan diri mengambil alih kerjaya yang ditinggalkan suami sebagai pemandu bot walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman membawa kenderaan tersebut.
“Saya tidak pernah memandu bot atau tahu selok-belok mengenainya kerana sebelum ini cuma fokus kepada keluarga.
“Penumpang pertama pada masa itu ialah sekumpulan pekerja pemasangan kabel elektrik dasar air dan hari demi hari, keyakinan saya bertambah, hinggakan dapat bertahan selama hampir 25 tahun,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Tengku Embat, faktor usia tidak menghalang dia meneruskan kerjaya sebagai pemandu bot pelancong di Tasik Kenyir selagi kudratnya masih ada.
Bagaimanapun dia mengakui ada dalam kalangan pelancong yang was-was dengan kemampuannya, namun persepsi itu berubah selepas merasai pengalaman menaiki bot dipandunya.
Katanya, sepanjang penglibatannya sebagai pemandu bot laju antara detik paling mencabar yang dilalui ialah apabila kedua-dua bot miliknya rosak dipercayai akibat perbuatan khianat hingga terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.
“Pada masa itu saya dalam perjalanan membawa pelancong ke Air Terjun Sauk dan tiba-tiba bot mengalami kerosakan enjin dan pada hari kejadian, sebuah lagi bot saya turut mengalami nasib sama,” katanya.