Mohon bantuan biayai kos pembedahan jantung berlubang - Utusan Malaysia

Mohon bantuan biayai kos pembedahan jantung berlubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN – Suami isteri memohon ihsan masyarakat bagi menampung kos perbelanjaan pembedahan jantung berlubang anak mereka, Muhammad Shafi Adyan, berjumlah RM15,000.

Menurut Mohd. Salihin Juwaher, 45, anak ketiganya itu akan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara ( IJN ) di Kuala Lumpur pada 22 Mac ini.

Katanya, kos sebenar pembedahan tersebut berjumlah RM30,000, tetapi diberi subsidi sebanyak RM15,000 oleh pihak kerajaan berikutan dirinya tidak mempunyai sumber kewangan.

Jelasnya lagi, beliau yang berkerja sebagai pekerja pembersihan swasta di Tenaga Nasional Bhd. ( TNB ) Pontian hanya memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan, manakala isterinya, Jamilah Hamidi, 39, tidak berkerja.

“ Setelah ditolak pinjaman pada 20 hari bulan sebanyak RM300 dan potongan Perkeso, saya hanya mendapat gaji bersih kira-kira RM1,200 sahaja bagi perbelenjaan harian keluarga,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Lorong Hamidi, Kampung Rimba Terjun, disini.

Tambah Mohd. Salihin, dia ada juga mencari pendapatan tambahan dengan menyabit buah kelapa sawit milik orang lain dengan memperoleh bayaran sebanyak RM120 bagi sekali tuaian.

“Selain Muhammad Shafi Adyan, saya mempunyai dua orang lagi anak, iaitu Nurul Jannah berusia 11 tahun dan Muhammad Syah Fahmi berusia 9 tahun,” ujarnya.

Sementara itu, Jamilah Hamidi memberitahu, anaknya dikesan mendapat penyakit jantung berlubang pada usia dua bulan iaitu pada tahun lalu.

Katanya, Shafi Adyan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA ) dan disahkan oleh mengalami pembengkakan jantung.

“ Tempahan bagi menjalani pembedahan di IJN telah dilakukan pada tahun lalu oleh pihak HSA dan kami bersyukur kerana permohonan yang dikemukakan telah diluluskan,” ujarnya.

Katanya, segala persiapan untuk ke IJN telah dibuat termasuk mendapatkan penginapan sementara di rumah sepupunya di Kuala Lumpur serta pengangkutan dari Pontian ke Kuala Lumpur.

Orang ramai yang ingin membantu pasangan suami isteri ini boleh menghubungi Mohd. Salihin Juwaher di talian 012-7765878 atau Jamilah Hamidi ( 012-7763334 ) atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional ( BSN ) 0112229000201271 .-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya