MKT UMNO: Jangan ada ‘pendakwaan’ terpilih - Utusan Malaysia

MKT UMNO: Jangan ada ‘pendakwaan’ terpilih

ONN Hafiz Ghazi (kiri) menyampaikan bantuan keperluan sekolah kepada murid-murid dalam kawasan DUN Layang-Layang di Kluang, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Tindakan mahu memecat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak seharusnya dilakukan melibatkan pendakwaan terpilih bagi mengelak sesiapa pun daripada dizalimi.

Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, UMNO perlu berpegang kepada prinsip menegakkan yang benar dan menidakkan yang batil.

“Bagi saya kita mempunyai tatacara dan juga undang-undang parti dan saya syorkan agar kita menggunakan saluran dan tatacara yang betul.

“Kita ada lembaga disiplin jadi kalau yang salah tetap salah dan yang betul tetap betul, jangan kita ada ‘selective prosecution’ yang bermaksud kita hanya memilih orang-orang tertentu untuk kita adili.

“Jadi kita kena adil untuk melaksanakan sesuatu tindakan, janganlah kita menzalimi siapa-siapa,” katanya ketika ditemui pada Program Yok Sekolah di sebuah pasaraya di Simpang Renggam hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri berkata demikian sebagai mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan akan memecat dua pemimpin yang menganggotai MKT UMNO.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, Program Yok Sekolah merupakan satu program Bantuan Khas Persekolahan kepada 2,000 orang pelajar sekolah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.

“Melalui program ini, pelajar-pelajar dari sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang terpilih akan menerima baucar tunai bernilai RM100 seorang.

“Semua pelajar yang terpilih untuk menerima bantuan ini adalah daripada golongan B40 yang dipilih sendiri oleh sekolah masing-masing tanpa mengira bangsa dan agama setiap pelajar.

“Dengan baucar tunai itu, mereka boleh membeli kelengkapan persekolahan mengikut keperluan masing-masing bagi membolehkan mereka memulakan sesi persekolahan bersemuka yang bermula sejak awal Mac lalu,” katanya.

Tambah Onn Hafiz, sebanyak RM200,000 dibelanjakan untuk merealisasikan program itu yang meliputi sumbangan daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebanyak RM100,000 manakala RM100,000 lagi adalah daripada peruntukkan khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang.

“Selain pelajar sekolah, turut menerima sumbangan adalah 18 bilik guru di semua sekolah dalam DUN Layang-Layang dengan masing-masing menerima sebanyak RM5,000 bagi kerja-kerja menambah baik.

“Manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang menerima sumbangan RM10,000 bagi membantu jabatan ini membangunkan keperluan pendidikan di dalam Daerah Kluang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya