Melaka Pay, pendigitalan perkhidmatan kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Melaka Pay, pendigitalan perkhidmatan kerajaan negeri

SULAIMAN Md. Ali melancarkan aplikasi Melaka Pay di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat di negeri ini tidak perlu lagi mengambil nombor giliran dan menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan seperti pembayaran cukai tanah dan kompaun kerana ia boleh dilakukan di hujung jari menggunakan aplikasi Melaka Pay.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, bermula 1 April ini, Melaka Pay bakal menawarkan sebanyak 18 perkhidmatan melibatkan lapan agensi kerajaan negeri seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah, Pejabat Tanah dan Galian Melaka (PTG) serta Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem) yang sudah boleh diakses oleh orang ramai melalui telefon pintar.

Beliau berkata, fasa kedua pula akan membabitkan Pusat Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang akan menawarkan perkhidmatan seperti zakat, wakaf dan fidyah.

“Boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store bagi pengguna Android dan menerusi App Store bagi pengguna IOS dijangka bermula 1 April 2021.

“Untuk makluman, kerajaan negeri Melaka menerusi Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri telah membangunkan gerbang pembayaran bersepadu, Melaka Pay untuk semakan dan pembayaran.

“Melaka Pay dilaksanakan menerusi empat langkah mudah iaitu daftar, log masuk, semak, dan bayar bil,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman menambah, mod pembayaran adalah secara dalam talian menerusi perbankan internet menggunakan Financial Process Exchange (FPX).

Jelasnya, setiap transaksi yang berjaya akan dikenakan caj perkhidmatan bank sebanyak RM 0.50 sahaja bagi individu dan RM1.00 bagi syarikat, mengikut ketetapan agensi terlibat.

“Berdasarkan Kerangka Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 juga, aplikasi Melaka Pay ini selari dengan flagship Digital Melaka iaitu flagship yang keempat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN