PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan merancakkan kembali aktiviti ar-Rahnu dalam kalangan masyarakat dan koperasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Medac bersama-sama juga SKM bakal melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021- 2025.
“Ini selaras dengan saranan kerajaan supaya operasi perniagaan koperasi pada masa kini lebih mudah dan kualiti koperasi yang didaftarkan lebih baik agar sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara berjumlah RM100 bilion dapat dicapai menjelang 2030.
“Secara tidak langsung ia bakal memudahkan penubuhan sesuatu koperasi untuk menceburi aktiviti Ar-Rahnu iaitu pembiayaan bercagarkan barang emas atau barang gadaian yang dilihat dekat di hati rakyat,” katanya.
Perkara ini bertepatan dengan tindakan pindaan akta koperasi yang dikuat kuasakan pada 1 Mac lepas, iaitu seramai 20 orang sahaja diperlukan untuk mendaftarkan sesuatu koperasi baharu, berbanding sebelum ini seramai 50 orang yang diperlukan.
Wan Junaidi berkata, aktiviti ar-Rahnu dapat membantu memudahkan individu atau anggota koperasi mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup atau sebagai modal pusingan perniagaan kepada mana-mana usahawan Bumiputera terutamanya atau anggota koperasi sendiri untuk mendapatkan dana perniagaan dengan lebih mudah dan cepat berbanding jika meminjam daripada institusi kewangan berlesen.
Katanya, pelaksanaan ar-Rahnu dalam kalangan masyarakat terutamanya rakyat di negeri Kelantan yang sangat sinonim dengan pemilikan emas adalah sangat sesuai dan relevan khususnya di kawasan luar bandar.
Penghargaan turut diberikan kepada koperasi-koperasi di Kelantan yang terlibat dalam sektor kesihatan antaranya Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia Kelantan Berhad yang dilihat terus bertahan dan berkembang pesat walaupun negara kini dalam menghadapi krisis ekonomi yang tidak menentu, katanya.
“Peningkatan ini berikutan permintaan terhadap produk kesihatan seperti sarung tangan getah, pelitup muka, pencuci tangan , vitamin dan ubat-ubatan, perkhidmatan dialisis serta penjualan peralatan bukan perubatan terus mendapat tempat dalam pasaran.
Wan Junaidi hari ini turut menyampaikan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM) dan Tabung Bantuan Koperasi berjumlah RM4.09 juta kepada 17 koperasi di negeri Kelantan pada majlis yang diadakan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Tambahnya, MEDAC melalui TEKUN Nasional juga mengumumkan pembukaan Platinum Mall Kota Bharu yang dijangka April ini khusus untuk usahawan di kawasan Pantai Timur.
“Surat tawaran penyewaan kepada lima bakal usahawan di Platinum Mall serta penyerahan pembiayaan kepada 10 orang usahawan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) yang masing-masing menerima RM5,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE