MB Kelantan akui berdebar sebelum disuntik - Utusan Malaysia

MB Kelantan akui berdebar sebelum disuntik

AHMAD Yakob menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam pelancaran Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selaku individu terawal di Kelantan yang menerima dos pertama Pfizer-BioNTech mengakui berdebar sebelum disuntik vaksin Covid-19 tersebut hari ini.

Menurut Ahmad, debaran itu dirasainya gara-gara pelbagai versi cerita mengenai vaksin Covid-19 pernah diperkatakan orang ramai.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja disuntik vaksin, saya tidak berasa sakit, ia hanya suntikan biasa sahaja.

“Oleh itu, saya hendak beritahu kepada orang ramai agar jangan takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan tersebut di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dalam pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Fasa Pertama Peringkat Negeri itu, 41 lagi individu turut menerima suntikan termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat serta petugas barisan hadapan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, seramai 21,645 petugas barisan hadapan di negeri ini akan menerima vaksin dalam tempoh fasa pertama sehingga akhir April depan.

“Daripada jumlah itu, 1,416 individu akan terima vaksin selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini hingga lusa,” katanya.

Kelantan menerima 43,290 dos vaksin secara berperingkat sepanjang bulan ini, termasuk 18,720 dos vaksin yang sudah diterima minggu lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya