HULU TERENGGANU: Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir di sini Sabtu lalu ditemukan terapung hari ini.
Mayat Amir Azzizol Abu Bakri, 22, ditemukan di tengah tasik berkenaan pada pukul 7.10 pagi ini oleh seorang pengusaha rumah rakit kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dilaporkan lemas.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihak polis marin yang meronda ke kawasan berhampiran segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.
“Mayat mangsa kemudian diangkat oleh pihak bomba dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang pada Sabtu lalu, Amir Azzizol yang merupakan pengantin baharu dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang dipercayai akibat kekejangan otot.
Mangsa yang dari Kampung Sungai Buaya di Dungun berenang tanpa memakai jaket keselamatan dan kejadian itu turut disaksikan isterinya dan sepupu di samping anak pemilik rumah rakit tempat mereka menginap.- UTUSAN ONLINE