Masih kuatkah PKR Johor? - Utusan Malaysia

Masih kuatkah PKR Johor?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon memberi kejutan kepada ramai pihak apabila beliau bersama Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Dalam bahasa mudah, kedua-dua wakil rakyat daripada PKR ini sudah meninggalkan parti mereka yang memenangi kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu di bawah payung Pakatan Harapan (PH).

Di Johor, kehilangan kerusi Tebrau yang pertama kali berjaya dirampas daripada Barisan Nasional (BN) sejak 1986 dalam PRU-14 lalu menjadikan PKR hilang kerusi ketiga daripada tujuh yang disandang mereka.

Peristiwa itu berlaku tidak sampai setahun selepas parti itu juga terlepas kerusi Parlimen Batu Pahat dan Segamat apabila kedua-dua Ahli Parlimen di situ mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tahun lalu.

Kini, hanya tinggal empat kerusi PKR yang tinggal di Johor iaitu Parlimen Johor Bahru, Pasir Gudang, Ledang dan Sekijang.

Maka, timbul persoalan adakah PKR Johor yang turut menyumbang kepada kemenangan PH di peringkat Persekutuan dahulu kini semakin goyah walaupun pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka menerima tiga kawan baru dari Parti Amanah Negara (Amanah).

PKR Johor yang kini dipimpin Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi negeri perlu berbuat sesuatu agar parti itu tidak dilihat semakin lemah dan hilang pengaruh di negeri selatan tanah air itu.

Bak kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Syed Ibrahim menyedari hal itu dan beliau sebenarnya mempunyai pasukan yang kuat untuk mengubah keadaan yang defensif kepada ofensif.

Selain Syed Ibrahim, timbalannya, Jimmy Puah Wee Tse juga perlu memikirkan bagaimana untuk menguatkan semula PKR Johor dan merancang untuk merampas kembali ketiga-tiga kerusi yang telah hilang tersebut.

Difahamkan, satu mesyuarat khas oleh PKR Johor akan diadakan pada 7 Mac ini yang antaranya akan menyentuh kedudukan semasa parti itu di negeri ini dan menangani situasi yang berlaku.

Malah, mesyuarat itu juga tidak mustahil akan turut membincangkan pengganti untuk menjadi calon PKR di tiga kerusi Parlimen berkenaan bagi menghadapi PRU-15 yang persiapan dan gerak kerjanya perlu bermula sekarang.

Jika mengikut cadangan Hassan, beliau melihat Jimmy Puah yang cemerlang semasa menjadi Exco negeri layak berada di Parlimen Tebrau berdasarkan rekodnya yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR pertama menang kerusi DUN di Johor pada PRU-13.

“PKR Johor yang akan bermesyuarat hujung minggu ini perlu merangka strategi untuk mengambil balik tiga kerusi Parlimen yang telah jatuh kepada Bersatu dan PN.

“Parti perlu sedar tak mudah untuk menumbangkan Datuk Mohd. Rashid Hasnon di Batu Pahat kerana sejak menjadi Ahli Parlimen, beliau membina pasukan yang aktif bergerak dalam masyarakat selain mempunyai sumber dana yang besar dan lain-lain faedah pimpinan kerajaan,” katanya.

Tetapi, bagi Parlimen Segamat, Hassan berpendapat, agak mudah untuk mengambil balik kerusi tersebut kerana penyandangnya bukan orang tempatan dan tidak popular dalam kalangan rakyat Segamat.

“Beliau menang dahulu pun kerana nama baik PKR, bukan kerana kekuatan sokongan peribadi atau ketokohannya. Pengkhianatan Ahli Parlimen yang melompat parti tidak mudah dimaafkan oleh rakyat dan pengundi, lebih-lebih lagi di Segamat. Hanya isunya adalah PKR perlu letak calon sesuai dan boleh menang di situ,” kata bekas Pengerusi PKR Johor itu lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya