Masih ada penduduk Kedah degil gagal patuhi SOP - Utusan Malaysia

Masih ada penduduk Kedah degil gagal patuhi SOP

HASANUDDIN Hassan menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Barisan Hadapan Kontinjen Kedah di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah mengesan masih terdapat segelintir penduduk di negeri ini yang didapati degil apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil pemantauan polis didapati sebanyak 95 peratus penduduk di negeri ini mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, polis Kedah akan meneruskan pemantauan SOP dan orang ramai bakal dikenakan sehingga RM10,000 sekiranya mengulangi kesalahan berulang bermula Khamis ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah individu yang dikompaun kerana melanggar SOP semakin hari semakin menurun hasil kesedaran.

“Pemantauan akan dijalankan seperti biasa. Seperti arahan oleh kerajaan (selepas kompaun dinaikkan sehingga RM10,000) kesalahan kedua, ketiga akan diambil tindakan.

“Jumlah kompaun yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukannya Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Barisan Hadapan Kontinjen Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Pada program itu, Hasanuddin menjadi individu pertama dari IPK Kedah yang menerima vaksin.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, sebagai contoh kes kelab malam yang dibuka di Langkawi sebelum ini telah dikompaun kerana masih belum dibenarkan beroperasi.

Jelasnya, jika kelab malam tersebut melakukan kesalahan berulang, tidak mustahil mereka akan dikenakan kompaun lebih tinggi oleh KKM.

Selain itu, beliau berkata, seramai 4,477 pegawai dan anggota polis Kedah akan menerima vaksin sebagai usaha memastikan keselamatan semua petugas dilindungi daripada dijangkiti virus Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya