PASIR MAS: Isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjadi antara topik hangat dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) membabitkan Pas dan UMNO yang kini diadakan secara mingguan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, agenda utama mesyuarat dihadiri pimpinan kedua-dua parti kekal sama iaitu memberi fokus terhadap usaha memperkasakan MN.
Pas bagaimanapun kata beliau, masih mengharapkan UMNO dapat duduk semeja dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membincangkan perbezaan pendapat antara dua parti tersebut.
“Rundingan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi timbulnya isu yang boleh mengeruhkan hubungan antara kedua-dua belah pihak.
“Masih ada cahaya di hujung terowong,” katanya kepada pemberita selepas turun padang untuk meninjau keadaan runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, di sini hari ini.
Rabu lalu, UMNO dan Pas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi membincangkan agenda pemerkasaan gabungan itu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Tuan Ibrahim dan rakan sejawatnya iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ia turut dihadiri 12 pimpinan tertinggi kedua-dua parti.- UTUSAN ONLINE