Marahkan isteri, kereta dibakar - Utusan Malaysia

Marahkan isteri, kereta dibakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Itu yang boleh digambarkan dengan tindakan seorang lelaki yang ditahan polis selepas membakar kereta Proton Saga milik saudara kepada isterinya kerana berang wanita itu tidak pulang ke rumah dalam kejadian di Jalan Indah 4/1, Taman Bukit Indah, di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan kereta tersebut mengalami kerosakan kira-kira 80 peratus.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pasangan suami isteri itu dikatakan mengalami perselisihan faham sehingga menyebabkan wanita tersebut keluar rumah sejak awal bulan lalu.

“Ketika kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu terdengar bunyi amaran keretanya sebelum mendapati tayar sebelah kiri kereta itu terbakar. Dia cuba memadam kebakaran tersebut namun gagal dan api merebak.

“Pada masa yang sama, lelaki terbabit menghubungi bomba bagi memadam kebakaran. Hampir keseluruhan kereta tersebut mengalami kerosakan akibat kebakaran.

“Pemilik kereta itu kemudian membuat laporan polis kerana dia mengenali suspek yang melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, susulan maklumat diperoleh, sepasukan anggota polis menahan suspek di tepi Jalan Indah 5/5, Taman Bukit Indah, di sini.

Menurutnya, siasatan awal ke atas suspek berusia 47 tahun yang seorang penganggur itu mengaku melakukan perbuatan khianat tersebut.

“Hasil soal siasat mendapati lelaki itu bertindak demikian kerana tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak balik rumah sejak awal bulan lalu kerana perselisihan faham.

“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes rompakan bersenjata selain saringan air kencing ke atasnya adalah negatif,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya