ARAU: Pembukaan sekolah secara bersemuka bagi murid tahun tiga hingga enam setelah beberapa bulan tertangguh ekoran Covid-19 mendorong guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah tampil dengan idea kreatif menyambut kedatangan semula murid-murid.
Malah guru dari sekolah tersebut tidak kekok mengenakan kostum Maleficient dan Mickey Mouse bagi menyambut kedatangan pelajar yang hadir sejak pukul 7 pagi.
Kehadiran watak kartun Walt Disney tersebut menceriakan suasana bagi keseluruhan 360 murid di sekolah tersebut yang rata-rata teruja melihat watak kegemaran mereka.
Seorang guru, Ku Liana Farhany Ku Abdul Halim berkata, idea untuk memakai kostum Maleficient timbul kerana dia sudah mengenakan penampilan pelbagai watak semasa mengajar di sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini.
“Jadi saya terfikir kenapa perlu berhenti situ. Ini kerana, murid-murid akan tertarik untuk melihat sesuatu yang baharu apabila mereka kembali ke sekolah. Saya selalu memegang konsep ‘learn through play’ (belajar melalui permainan) dan sekolah adalah tempat untuk mereka belajar semua itu.
“Kos untuk menyediakan kostum ini adalah kurang daripada RM200. Namun, saya juga mendapat kerjasama guru-guru lain yang mana sebahagian daripada kostum ini turut dijahit oleh seorang ustazah di sekolah ini,” katanya di sini semalam.
Sementara itu Guru Besar SK Kubang Gajah, Mazlan Abu Bakar berkata, pendekatan menonjolkan watak animasi pada hari pertama persekolahan tersebut diharap dapat menarik minat murid-murid untuk kembali ke sekolah.
Katanya, semua kos untuk kostum dan hiasan tersebut adalah inisiatif guru-guru itu sendiri yang telah menawarkan diri melaksanakan idea kreatif tersebut demi menarik minat murid-murid mereka.
“Pihak pengurusan bagi sokongan kepada semua usaha-usaha yang dilakukan guru-guru untuk melakukan apa sahaja asalkan benda itu dapat memberi manfaat kepada murid.
“Sejak dibuka untuk murid pra sekolah hingga tahun dua pada minggu lalu, kehadiran yang dicapai adalah agak baik iaitu sebanyak 98 peratus. Kami harap selepas ini akan mencapai yang lebih baik lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Dr. Fadhilnor Abdullah berkata, murid-murid kelihatan ceria kembali ke sekolah meneruskan pembelajaran secara bersemuka dalam kebiasaan baharu.
“Dari segi ibu bapa memang ada yang menyatakan kebimbangan dalam keadaan pandemik semasa. Bagaimanapun saya telah berbincang dengan pihak sekolah dan kita akan menjalankan serta menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19,” jelasnya.
Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman memberitahu, sebanyak 15,651 murid tahun tiga hingga enam di negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka semalam.
Beliau berkata, ini meliputi murid tahun tiga sebanyak 3,968, tahun empat (3,930), tahun lima (3,821) dan tahun enam (3,932). -UTUSAN ONLINE