PUTRAJAYA: Malaysia yakin Komanwel dapat menangani wabak Covid-19 melalui perkongsian inovatif dan pendekatan baharu untuk melindungi kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan berisiko tinggi.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, ia memandangkan wabak berkenaan masih lagi menjadi cabaran bagi semua negara Komanwel.
Bersempena sambutan Hari Komanwel esok, Malaysia bersama 53 negara anggota Komanwel yang lain meraikan jalinan persamaan dan sumbangan Komanwel dalam usaha mewujudkan persekitaran global yang harmoni.
Jelasnya, sambutan Hari Komanwel pada tahun ini juga istimewa kerana Hari Wanita Antarabangsa juga turut disambut pada 8 Mac.
“Kedua-dua sambutan ini memberi peluang khas kepada kita untuk mengiktiraf sumbangan pemimpin-pemimpin wanita di seluruh Komanwel yang telah menyumbang kepada pembangunan lestari dan pembinaan masyarakat yang berdaya tahan.
“Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah mengubah kehidupan setiap individu dan organisasi,” katanya hari ini.
Menurut kementerian itu, pada tahun ini Kerajaan Republik Rwanda akan menganjurkan Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26 pada Jun ini di Kigali dengan tema, ‘Delivering a Common Future: Connecting, Innovating, Transforming’.
Katanya, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota Komanwel yang lain dalam memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang keutamaan seperti mempromosikan urus tadbir yang baik, menangani kesan sosial dan ekonomi pandemik Covid-19, pembangunan lestari, isu-isu alam sekitar, belia, pendidikan dan pemerkasaan wanita.
“Malaysia mengalu-alukan penganjuran CHOGM 2021 yang akan datang di Kigali, Rwanda dan sentiasa komited untuk menyokong pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Komanwel ke arah mencapai keamanan sejagat dan kemakmuran bersama,” katanya. -UTUSAN ONLINE